KKD sasar 7 juta tontonan di platform MYTV tahun ini

Mohammad merasmikan Prapelancaran MYTV Mana-Mana sambil diperhatikan Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Shamsul Izhan Abdul Majid (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel, Mohd Helmi Harith (kiri) di sebuah hotel, pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohammad merasmikan Prapelancaran MYTV Mana-Mana sambil diperhatikan Ketua Pegawai Teknologi & Inovasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Shamsul Izhan Abdul Majid (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel, Mohd Helmi Harith (kiri) di sebuah hotel, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) tujuh juta tontonan menerusi platform MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) pada tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, pihaknya telah mencapai KPI 6.3 juta tontonan di platform berkenaan pada tahun lepas.

"Tiga tahun kita berkerjasama dengan MYTV. Jadi pada tahun ini buat pertama kali, kita letakkan KPI untuk jumlah tontonan," katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran aplikasi perkhidmatan siaran TV penstriman Over-the-Top (OTT) percuma Malaysia, MYTV Mana-Mana.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama (menanggung tugas Ketua Pengarang), Jamaluddin Muhammad.

Mengulas mengenai aplikasi MYTV Mana-Mana, beliau berkata, matlamatnya adalah untuk menyediakan pelbagai pilihan program berkualiti tinggi di bawah satu bumbung khusus untuk rakyat Malaysia.

Mohammad berkata, pihaknya meletakkan sasaran sejumlah 1.6 juta pengguna untuk memuat turun aplikasi berkenaan pada tahun ini.

Beliau berkata, melalui aplikasi berkenaan, penonton dapat mengakses pelbagai kandungan program tempatan dan luar negara dalam definisi tinggi (HD), rangkaian siaran langsung TV, radio dan on-demand tanpa mengira masa dan tempat.

"MYTV Mana-Mana ialah platform OTT nasional yang menyediakan rangkaian saluran TV percuma daripada penyiar seperti Bernama TV, RTM, TVS, Suke TV dan TV Al-Hijrah serta kandungan on-demand seperti Resepi Tok (Destinasi TV), Walkabout Asia, Food Stories, Cities of the World dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata MYTV Mana-Mana kini boleh ditonton di mana2.my dan juga boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store dan iOS App Store. - Bernama