Penang FC idam cipta kejutan di Likas

Yee Fatt (dua dari kanan) merangka strategi terbaik bagi memburu tiga mata ketika berdepan Sabah di Likas pada Jumaat.
FOTO: FB PENANG FC
Yee Fatt (dua dari kanan) merangka strategi terbaik bagi memburu tiga mata ketika berdepan Sabah di Likas pada Jumaat. FOTO: FB PENANG FC
A
A
A

PENANG FC bakal berdepan tugas sukar dalam misi memburu kemenangan pertama Liga Super musim ini apabila dijadualkan menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt berkata, skuad kendaliannya dijangka menghadapi ujian getir apabila bertandang di gelanggang keramat Sabah FC yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah setakat ini.

Namun, beliau percaya kemampuan skuad Harimau Kumbang untuk mencipta kejutan seperti yang dilakukan ketika menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA minggu lalu.

“Setiap perlawanan adalah sukar, tiada perlawanan yang mudah terutamanya pada permulaan Liga Super. Tetapi saya harap kami dapat mencari kemenangan pertama.

“Dalam beberapa perlawanan terakhir, kami tidak tidak terlalu bagus tetapi tidak juga beraksi buruk. Kami ada karakter tersendiri apabila turun beraksi.

“Apabila berjaya dapat kemenangan pertama dalam Liga Super, saya yakin selepas itu (prestasi) Penang FC akan bertambah baik bagi mengharungi cabaran musim ini,” katanya.

Ketika ini, Penang FC hanya mampu mengumpul dua mata daripada empat perlawanan yang diharungi selepas meraih dua keputusan seri dan dua kekalahan.