NS masih teliti tawaran guna rumput padang Zeon Zoysia

Pemandangan di dalam kawasan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi yang menjadi venue utama bagi setiap perlawanan bola sepak di Negeri Sembilan. - Foto Bernama
Pemandangan di dalam kawasan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi yang menjadi venue utama bagi setiap perlawanan bola sepak di Negeri Sembilan. - Foto Bernama
A
A
A

MASIH terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan Negeri Sembilan mengenai penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia yang ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, kerajaan negeri perlu membaik pulih sistem saliran dengan kos yang tinggi kerana keadaan padang stadium itu akan bertakung setiap kali hujan dan menjejaskan perlawanan.

"Ini antara pertimbangannya, insya-ALLAH saya akan mengadakan mesyuarat khas dengan memanggil pihak berkepentingan seperti Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan pasukan Negeri Sembilan FC untuk mendapatkan pandangan serta kaedah yang boleh memanfaatkan peluang yang ditawarkan KBS itu.

"Selain itu, kerja penanaman rumput baharu memerlukan tiga hingga empat bulan, jadi perlu difikirkan waktu sesuai supaya tidak bertembung dengan perlawanan, kalau terpaksa menjejaskan jadual perlawanan, kita perlu cari padang alternatif bagi perlawanan NSFC,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan SEA ke-31 Vietnam 2021 dan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 kepada atlet, jurulatih serta pegawai di negeri ini.

Sembilan atlet negeri memenangi pingat di Sukan SEA Ke-31, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei 2022 manakala seramai 146 penerima, terdiri daripada pengurus, jurulatih dan atlet menerima insentif kemenangan bagi Sukma ke-20 (16 hingga 24 September 2022) di Kuala Lumpur, Selangor dan Nilai di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu Mohamad Taufek berkata, sudah masanya negeri ini memiliki dua padang bola sepak yang boleh digunakan di peringkat nasional dan perkara itu telah dicadangkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga tidak mahu terlepas peluang dengan tawaran KBS berkenaan penukaran rumput tersebut dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

"Kos penyelenggaraan padang pula RM240,000 setahun, anggaran RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, ia satu jumlah besar, terdapat beberapa negeri mahu kekal guna rumput ‘cow grass’ kerana kos penyelenggaraan lebih murah,” katanya.

Zeon Zoysia mempunyai sistem akar luas, pertumbuhan rizom kuat dan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan serta diperakui dalam ujian terkawal oleh National Turfgrass Evaluation Programme (NTEP).

Dalam perkembangan lain Aminuddin berkata, kerajaan negeri belum bersedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukma berikutan beberapa fasiliti sukan yang perlu dinaik taraf selain terdapat keperluan lain yang perlu diutamakan. - Bernama