Sultan Selangor berkenan serah watikah lantikan 20 individu

Sultan Sharafuddin(tengah) berkenan bergambar bersama sembilan penerima watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah PWS.
Sultan Sharafuddin(tengah) berkenan bergambar bersama sembilan penerima watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah PWS.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada 20 individu membabitkan pelbagai jawatan dalam agensi serta jabatan berkaitan Islam pada Khamis.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai sembilan orang penerima watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk tempoh 2023 hingga 2025.

"Pada istiadat tersebut, Datuk Ibrahim Md Yusof (dilantik) sebagai Pengerusi PWS manakala Datuk Mohd Misri Idris dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PWS," katanya dalam kenyataan.

Turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PWS ialah Tengku Seri Paduka Shah Bandar Tengku Datuk Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah, Datuk Dr Anhar Opir, Dr Yusri Zakariah, Rosli Ismail, Datuk Mohamad Daud Dolmoin, Datuk Abdul Wahab Abu Bakar dan Nurhani Salwa Jamaluddin.

"Selain itu, turut dilantik ialah Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid sebagai Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah manakala Mohamad Zakian Dio, Shukran Yusof dan Fairus Jaafar dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor," katanya.

Pada istiadat tersebut juga, tujuh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor turut menerima watikah pelantikan iaitu Abdul Malik Soleh, Mohamed Hizwan Mohamed Noor, Umamuddin Yunus, Maizatul Aliza Chee Din, Salmizan Mohamed @Jamaludin, Wan Nurulddin Wan Hussain dan Mohd Tarmizi Jaafar.