Pelan Pemulihan Pelancongan catat penebusan lebih RM10 juta

Khairul Firdaus (enam dari kiri) ketika Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik.
Khairul Firdaus (enam dari kiri) ketika Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang menawarkan insentif kepada rakyat dalam bentuk penebusan diskaun, baucar dan rebat merekodkan nilai keseluruhan RM10.9 juta berjaya ditebus sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, pelan di bawah pakej Rangsangan Ekonomi 2.0 yang bertujuan menyemarakkan lagi pelancongan domestik itu turut mencatatkan hasil jualan sebanyak RM40.67 juta.

"Inisiatif berkenaan juga telah memanfaatkan seramai 248,450 pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia dengan nilai penebusan keseluruhan berjumlah RM10.9 juta," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 merupakan inisiatif kerajaan untuk menangani kesan penularan Covid-19 ke atas sektor pelancongan di Malaysia.

Antara industri yang terlibat dalam inisiatif berkenaan termasuk syarikat penerbangan (Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings), perkhidmatan pengangkutan darat (KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad) serta persatuan pelancongan (Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia, Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia).

Dalam pada itu Khairul Firdaus berkata, Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia, Persatuan Penyelam Skuba Malaysia, Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia serta beberapa persatuan penginapan termasuk rangkaian Hotel Seri Malaysia.

"Sebanyak 21 pameran pelancongan domestik dianjurkan dengan penglibatan Tourism Malaysia seperti Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022, MATTA Fair 2022 dan Tourism Malaysia Travel Fair.

"Pameran-pameran berkenaan berjaya menarik penyertaan 394 agensi dan pengusaha produk pelancongan serta penginapan dari seluruh negara dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM15.2 juta," katanya.

Sementara itu, sebagai menghargai sokongan penggiat industri pelancongan, Tourism Malaysia menganjurkan Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik yang turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Digital Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.