Tiga lembu mati diserang harimau

Keadaan bangkai lembu yang mati dipercayai diserang harimau belang di Kampung Merbau Menyusut, Setiu.
Keadaan bangkai lembu yang mati dipercayai diserang harimau belang di Kampung Merbau Menyusut, Setiu.
A
A
A

SETIU – Tiga ekor lembu milik seorang penternak di Kampung Merbau Menyusut, di sini ditemui mati dipercayai diserang harimau belang dalam kejadian Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Merbau Menyusut, Mohd Zamri Embong berkata, serangan pak belang itu diketahui selepas dimaklumkan penternak tersebut.

“Ketika kejadian, saya tiada di sini kerana berada di luar kawasan dan orang kampung hubungi maklumkan tiga ekor lembu mati diserang harimau.

“Daripada jumlah itu, seekor lembu sempat disembelih kerana masih hidup, satu sudah mati manakala satu lagi gagal ditemui. Mungkin bangkainya diheret ke hutan berhampiran,” katanya pada Khamis.

Susulan aduan itu kata Mohd Zamri, beliau bertindak membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Katanya, beberapa anggota Perhilitan telah datang ke lokasi kejadian pada Khamis membuat siasatan dan pemantauan.

“Mengikut maklumat yang diterima, seekor harimau dan anaknya dianggarkan berusia lima hingga enam bulan dilihat berkeliaran di lokasi serangan. Kita harap tindakan segera dapat diambil bagi menjamin keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, siasatan awal mendapati harimau tersebut dipercayai datang dari kawasan hutan simpan Hulu Nerus yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Kita sedang memantau keadaan dan sekiranya perlu, perangkap harimau akan dipasang di lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.