22,023 asnaf fakir, miskin terima bantuan zakat sempena Ramadan

Shaikh Harun (tengah) menyampaikan bantuan zakat sempena Ramadan kepada salah seorang penerima pada Khamis.
Shaikh Harun (tengah) menyampaikan bantuan zakat sempena Ramadan kepada salah seorang penerima pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kehadiran Ramadan tidak lama lagi menceriakan 22,023 asnaf fakir dan miskin yang layak di Terengganu apabila mereka menerima bantuan zakat sempena bulan mulia itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, agihan bantuan tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM11.73 juta.

Menurutnya, jumlah agihan bantuan zakat sempena Ramadan kali ini meningkat berbanding 21,589 penerima dengan perbelanjaan RM10.4 juta pada tahun lepas.

“Peningkatan ini kerana ramai yang terjejas pendapatan ekoran pandemik Covid-19 yang sebelum ini,” katanya selepas Majlis Agihan Bantuan Zakat Sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin tahun 2023 di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Shaikh Harun berkata, bantuan bagi meringankan beban kewangan golongan asnaf mula diagihkan pada Isnin lalu di daerah Besut dan akan berakhir di Kuala Nerus pada Selasa depan.

Katanya, terdapat tiga kategori agihan bantuan pada tahun ini iaitu sebanyak RM300 untuk isi rumah tunggal, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700).

“Daripada semua penerima, ada asnaf yang menerima bantuan secara tunai melalui majlis pengagihan yang ditetapkan dan sebahagian besarnya pula dimasukkan secara terus kepada akaun mereka,” katanya.