'Sudah tentu Malaysia harus berbangga dengan Michelle Yeoh'

Ho Ching (kanan) yang juga isteri Perdana Menteri Singapura berpendapat, Malaysia sudah lama mengiktiraf sumbangan besar Michelle dalam arena seni global sehingga menganugerakan gelaran Tan Sri kepada pelakon antarabangsa itu. - Foto Awani
Ho Ching (kanan) yang juga isteri Perdana Menteri Singapura berpendapat, Malaysia sudah lama mengiktiraf sumbangan besar Michelle dalam arena seni global sehingga menganugerakan gelaran Tan Sri kepada pelakon antarabangsa itu. - Foto Awani
A
A
A

KETIKA segelintir pihak membidas Malaysia tidak wajar mengambil kredit di atas kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscar 2023) Isnin lalu, Ho Ching iaitu isteri Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong pula berpendapat sebaliknya.

Kata Ho Ching, negara jiran itu sudah lama mengiktiraf sumbangan besar Michelle dalam arena seni global sehingga menganugerahkan gelaran kedua tertinggi di peringkat Persekutuan iaitu Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings itu berkata demikian sebagai reaksi kepada artikel yang disiarkan di sebuah portal Singapura yang mendakwa, Malaysia tidak sewajarnya berpendapat negara itu memberi sumbangan pada kejayaan Michelle.

“Sudah tentu Malaysia harus berbangga dengan Michelle Yeoh, bahkan mereka (kerajaan Malaysia) juga sudah mengiktiraf beliau dengan menganugerahkan (gelaran) Tan Sri sebelum beliau memenangi Oscar,” kata Ho Ching dalam hantaran di akaun Facebook beliau.

Michelle, anak seni kelahiran Ipoh, Perak melakar sejarah apabila ditabalkan sebagai pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik pada Oscar 2023 yang berlangsung Isnin lalu.

Kejayaan tertinggi itu sekali gus menjadikan beliau pelakon wanita Malaysia dan Asia pertama diiktiraf di Hollywood dalam sejarah perfileman.

Beliau diangkat sebagai pemenang kategori itu menerusi lakonan cemerlang dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Dalam perkembangan sama, Ho Ching berkata, Michelle juga telah memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang selain mencetus kesedaran masyarakat berhubung banyak kerja bermanfaat.

“Beliau ialah Duta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang tugasnya mencetus kesedaran selain mengatur sokongan pada usaha pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Beliau telah hadir dan bersuara demi kebaikan,” kata Ho Ching lagi.

Dalam hantaran sama, Ho Ching mengucapkan tahniah kepada Michelle serta menyatakan harapan agar pelakon berusia 60 tahun itu akan meraih pelbagai lagi kejayaan pada masa depan. - Awani