Peniaga pasar basah didakwa tipu alat penimbang - CAP

Peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohideen)
Peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohideen)
A
A
A

GEORGETOWN - Kebanyakan peniaga pasar basah di Pulau Pinang didakwa menipu pengguna apabila menggunakan alat penimbang berat mekanikal (penimbang dua muka) yang tidak tepat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan yang dijalankan di semua pasar basah di negeri ini mendapati kebanyakkan peniaga tidak memaparkan pelekat penentu ukur pada alat penimbang mereka.

Menurutnya, peniaga sepatutnya memaparkan pelekat tersebut bagi membolehkan pengguna mengetahui ketepatan alat penimbang yang digunakan.

"Tinjauan kami ke semua pasar basah di Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan beberapa alat penimbang berat yang memaparkan pelekat penentu ukur tidak dipaparkan kepada pengguna. Sepatutnya pelekat penentu ukur itu perlu diletakkan di tempat yang boleh dilihat oleh pengguna.

"Ia bagi memastikan pengguna mengetahui ketepatan alat penimbang berat itu sama ada ia sesuai untuk digunakan bagi perniagaan atau sebaliknya. Selain itu, kami juga mendapati alat penimbang berat yang digunakan oleh kebanyakan peniaga kurang memuaskan memandangkan jarum petunjuk tidak bermula daripada sifar.

"Malah, ada peniaga yang menggunakan alat penimbang yang kotor menyebabkan pengguna tidak nampak nombor pada muka penimbang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mencetak tahun penentu ukur dalam huruf terang yang besar pada pelekat penentu ukur bagi memudahkan pengguna membacanya.

"Peniaga juga perlu diingatkan bahawa bahagian alat penimbang dengan pelekat penentu ukur perlu dipamerkan dengan jelas di hadapan pengguna," ujarnya.

Susulan itu, Mohideen menggesa KPDN menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga pasar basah yang menggunakan alat penimbang berat mekanikal tidak tepat bertujuan untuk menipu pengguna.

"Pihak Kementerian juga perlu memastikan setiap pasar mempunyai dua alat penimbang berat (satu daripadanya untuk digunakan bagi barangan halal) untuk pengguna mengesahkan berat barangan jika mereka meraguinya.

"Nombor untuk dihubungi juga perlu disediakan pada alat penimbang berat supaya pengguna boleh menghubungi jika mereka mempunyai sebarang aduan berhubung kekurangan berat, kenaikan harga barangan utama atau amalan perniagaan yang tidak sihat," katanya.