Longgokan sampah cemari kota Paris

Sisa sampah yang berselerakan mencemarkan imej Paris yang terkenal dengan gelaran Kota Romantis. - Agensi
Sisa sampah yang berselerakan mencemarkan imej Paris yang terkenal dengan gelaran Kota Romantis. - Agensi
A
A
A

PARIS - Beribu-ribu tan sampah tidak dikutip sejak hampir seminggu lalu bukan sahaja mencacatkan pemandangan Paris, malah ia menimbulkan bau busuk sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai dan pelancong asing yang berkunjung ke bandar yang terkenal dengan gelaran Kota Romantis itu.

Timbunan sampah sarap yang dilonggok di pinggir jalan itu turut menarik kehadiran ulat, lipas dan tikus.

Situasi tersebut berlaku selepas syarikat pembersihan di ibu negara Perancis itu menyertai mogok sejak minggu lalu sebagai sebahagian daripada protes besar-besaran di seluruh negara berhubung reformasi pencen Presiden Emmanuel Macron.

Langkah Macron yang mahu menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64 tahun mendapat tentangan kuat daripada kesatuan pekerja.

Pelan tersebut menyatakan bahawa mulai 2027 bakal pesara boleh menerima pencen penuh jika mereka mencarum selama 43 tahun.

Timbunan sampah tidak dikutip sejak hampir seminggu lalu di Paris. - Agensi
Timbunan sampah tidak dikutip sejak hampir seminggu lalu di Paris. - Agensi

Perubahan itu adalah antara agenda utama politik Macron, dengan kerajaan menjelaskan bahawa peningkatan usia persaraan dan keperluan pencen penuh penting bagi mengelak sistem berdepan defisit.

Akibat mogok yang berterusan, kira-kira 6,600 tan sampah terbiar begitu sahaja.

"Kotor dan berbau, malah lipas serta tikus ada di mana-mana," menurut seorang warga Paris yang mengadu kepada stesen radio tempatan.

Menurut wakil kesatuan pekerja, keadaan kotor, busuk dan tidak terurus itu dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Pekerja pembersihan dan pemandu lori sampah sebelum turut menuntut kenaikan gaji supaya mereka mendapat pencen lebih tinggi.

Kebanyakan mereka bimbang sekiranya wang pencen yang diterima nanti terlalu rendah untuk mereka menghadapi hari tua, di tengah-tengah sentimen kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Pihak berkuasa di Paris memaklumkan pekerja pembersihan bertindak menyekat tiga tapak rawatan sisa pepejal di bandar tersebut dan tapak keempat pula sebahagiannya telah ditutup.

Bandar lain termasuk Nantes, Rennes dan Le Havre turut mengalami situasi sama.

Seorang penyampai di stesen radio Europe1 menyifatkan situasi tidak menyenangkan itu sebagai 'acara hidangan bufet besar-besaran' untuk enam juta tikus di Paris yang populasinya adalah dua kali ganda berbanding populasi manusia yang menghuni kota metropolis tersebut. - Agensi