Skuad Sukarelawan Wildcat terkilan pihak guna gambar kutip dana

Pasukan misi bantuan yang digerakkan Skuad Sukarelawan Wildcat ketika mengagihkan barangan di Sri Medan, Batu Pahat baru-baru ini. - Foto FB Skuad Sukarelawan Wildcat (Gambar kecil: Afzanizam)
Pasukan misi bantuan yang digerakkan Skuad Sukarelawan Wildcat ketika mengagihkan barangan di Sri Medan, Batu Pahat baru-baru ini. - Foto FB Skuad Sukarelawan Wildcat (Gambar kecil: Afzanizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Skuad Sukarelawan Wildcat terkilan apabila gambar mereka disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengumpul dana untuk misi bantuan mangsa banjir.

Presiden Skuad Sukarelawan Wildcat, Afzanizam Ismail berkata, bagaimanapun pihaknya telah menghubungi ketua pertubuhan tersebut untuk memadam gambar berkenaan.

Afzanizam berkata, pihaknya dikejutkan dengan satu rakaman video di TikTok yang memaparkan gambar ahli Skuad Sukarelawan Wildcat ketika melakukan misi bantuan banjir namun akaun bank dikongsikan atas nama pertubuhan lain.

"Saya sangat terkejut, dua hari selepas balik dari misi bantuan banjir di Batu Pahat, Johor, kami dikejutkan dengan perkara ini dan segera menghubungi ketua pertubuhan itu. Mereka berjanji untuk memadamkannya.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, kalau mahu guna gambar perlu minta keizinan. Bukan apa, risau sekiranya berlaku sebarang masalah ia akan terpalit dengan kami," katanya kepada Sinar harian.

Tambah beliau, sedangkan setiap sumbangan yang dipertanggungjawabkan oleh syarikat korporat, individu dan masjid untuk membantu mereka memerlukan telah dilakukan dengan baik.

"Lagipun kami tidak mahu orang ramai keliru, gambar kami tetapi akaun orang lain. Diharapkan tiada lagi pihak yang mengambil kesempatan, jangan guna nama atau gambar sesuka hati.

"Antara misi yang pernah dianjurkan adalah misi bantuan banjir di Temerloh dan Kuala Lipis, Pahang, selain membina surau, serta membantu sekolah-sekolah tahfiz dan rumah anak yatim," ujarnya.