17 masjid, surau jadi lokasi program tadarus dan tadabbur

Sebahagian wakil Rumah Ngaji Pulau Pinang bergambar bersama bagi mempromosikan Kempen World #QuranHour pada Ramadan nanti.
Sebahagian wakil Rumah Ngaji Pulau Pinang bergambar bersama bagi mempromosikan Kempen World #QuranHour pada Ramadan nanti.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebanyak 17 lokasi masjid dan surau di negeri ini dipilih Rumah Ngaji Pulau Pinang untuk penganjuran program tadarus dan tadabbur al-Quran sepanjang Ramadan tidak lama lagi.

Program satu jam 30 minit bersama al-Quran itu akan bermula di Surau Kampung Setul, Seberang Perai Utara dan dipimpin oleh Ustaz Sheikh Omar Ali Al Hafiz.

Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton @ Zariyah Abdullah berkata, program tradisi setiap kali Ramadan itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat di negeri ini memperbaiki bacaan dan memahami maksud ayat al-Quran malah ia sekali gus dapat mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini.

Wakil Rumah Ngaji Pulau Pinang bergambar bersama selepas selesai majlis sarapan mesra yang dianjurkan baru-baru ini.
Wakil Rumah Ngaji Pulau Pinang bergambar bersama selepas selesai majlis sarapan mesra yang dianjurkan baru-baru ini.

"Pastinya semua wakil-wakil rumah ngaji di negeri ini telah bersedia untuk memastikan kelancaran program yang akan diadakan nanti dan kita jangkakan ia akan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.

"Selain itu, kesemua 53 rumah ngaji di negeri ini juga bersedia untuk menjayakan Kempen World #QuranHour yang akan mengangkat Surah Al-Insan pada kali ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Jadual Program Satu Jam 30 minit bersama al-Quran yang dianjurkan sepanjang Ramadan oleh Rumah Ngaji Pulau Pinang.
Jadual Program Satu Jam 30 minit bersama al-Quran yang dianjurkan sepanjang Ramadan oleh Rumah Ngaji Pulau Pinang.

Terdahulu, Zaiton bersama 120 wakil pengurusan rumah ngaji di negeri ini berkumpul dalam satu majlis sarapan mesra bagi mengeratkan ukhuwah selain meraikan 20 tenaga pengajar yang bakal menduduki ujian tauliah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Kempen World #QuranHour nanti, Zaiton berkata bagi peringkat negeri ia akan diadakan di Masjid Jamiul Sharif, Pokok Machang, Tasek Gelugor.

Katanya, kempen sama turut dijalankan serentak diadakan di kesemua rumah ngaji di negeri ini.