Tukang urut syukur keluar dari B40

Norazilah dari Pulai Chondong, Machang tidak pernah menyangka keputusannya menyertai kursus urutan, bekam dan servis postnatal anjuran Program Yayasan Petronas Empower ECER berjaya mengubah nasib keluarganya.
Norazilah dari Pulai Chondong, Machang tidak pernah menyangka keputusannya menyertai kursus urutan, bekam dan servis postnatal anjuran Program Yayasan Petronas Empower ECER berjaya mengubah nasib keluarganya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita dari Pulai Chondong, Machang tidak pernah menyangka keputusannya menyertai kursus urutan, bekam dan servis postnatal anjuran Program Yayasan Petronas Empower ECER berjaya mengubah nasib keluarganya.

Norazilah Ismail, 37, yang sebelum ini pernah hilang pekerjaan sebagai kerani disebabkan Covid-19 kini mampu menjana pendapatan sebagai tukang urut hasil kemahiran yang dipelajari.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan tidak pernah menyangka dapat mengembangkan kerjaya sebagai ‘tukang urut’ demi menyara keluarga.

"Selepas berhenti kerja, saya cuba membuat kuih dan menjualnya dengan hasil pendapatan sebanyak RM800 sebulan.

"Namun dengan mengurut, pendapatan saya boleh mencecah sehingga RM4,000 sebulan sehingga berjaya keluar dari B40," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, untuk perancangan jangka panjang dia berhasrat mengambil dan melatih pekerja postnatal bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin tinggi.

Sebelum itu Norazilah diraikan dalam Majlis Penyerahan Sijil Graduasi Program Yayasan Petronas Empower ECER dan Program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan di bawah seliaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER.

Program Yayasan Petronas Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan telah dilaksanakan dalam beberapa fasa latihan antaranya kelas “Softskill”, “Hardskill” dan “On-the Job Traning” selama tempoh 150 jam.

Antara kursus-kursus yang ditawarkan ialah urutan, bekam dan servis postnatal, pendawaian elektrik dan pempaipan, pastri, bakeri dan konfeksioneri, jahitan dan reka bentuk hiasan dalaman serta banyak lagi.