'Tiada undang-undang benarkan sumbangan kepada parti politik'

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada undang-undang yang berkuat kuasa membenarkan sumbangan dana kepada parti politik ketika ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, malah penyaluran dana kepada parti politik boleh disabitkan sebagai kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 jika dikesan mempunyai elemen rasuah.

"Dari segi akta yang ada hari ini, perbuatan tersebut tidak dibenarkan. Kecuali (pada masa depan) ada pengecualian kepada peraturan tersebut melalui Akta Pendanaan Politik yang dicadangkan.

"Meskipun orang kata (sumbangan) atas niat baik atau bantu, tetapi tidak ada undang-undang yang memberi legitimasi kepada tindakan tersebut," katanya dalam program Agenda Awani.

Azalina berkata, penggubalan Akta Pendanaan Politik penting untuk memastikan sumbangan kepada parti politik tidak termasuk dalam kategori rasuah, lebih-lebih lagi melibatkan parti pemerintah yang mempunyai kapasiti untuk memberikan balasan.

"Berbeza apabila derma kepada parti kerajaan berbanding kepada parti pembangkang. Tapi biasanya dalam negara kita, dulu-dulu penderma tak nak orang tahu. Kadang-kadang penderma ini dua-dua pihak pun dia sokong, untuk selamatkan 'nyawa' dia," katanya lagi.

Sehubungan itu, Azalina berkata, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas perlu dibentuk untuk mendapatkan pandangan wakil-wakil parti politik dalam usaha merealisasikan penggubalan akta berkenaan.

"Saya rasa cara yang terbaik ialah dengan membawanya ke Jawatankuasa Pilihan, untuk dapatkan semua wakil-wakil parti politik duduk dalam satu jawatankuasa khas untuk membincangkan (akta) dana politik.

"Sebab parti politik kerajaan dan bukan kerajaan mungkin ada intepretasi berbeza mengenai dana politik.

"Tapi saya mahu kepastian sama ada pendanaan politik itu kita tetapkan sebagai pendedahan penuh atau tidak? Kadang-kadang orang derma, dia tidak mahu orang lain tahu dia derma.

"Kedua, dia layak dapat pengecualian cukai atau tidak?" tambahnya lagi. - Awani