73 premis jual tong air diperiksa KPDNHEP

73 premis yang menjual tong air diperiksa KPDNHEP. - Foto ihsan KPDNHEP Selangor
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 73 premis menjual tong air di sekitar Selangor diperiksa bagi mengekang peniaga memanipulasi harga dan mengaut keuntungan berlebihan susulan gangguan bekalan air selama 48 jam bermula esok.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azizan Abdullah berkata, pemeriksaan terhadap harga tong air dijalankan bermula semalam dan akan berlanjutan hingga isu gangguan air di sini selesai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan anggota di lapangan mendapati, setakat ini peniaga meletakkan tanda harga terhadap tong air yang dipamerkan untuk jualan dan tiada unsur kenaikan harga barangan dikesan.

"Dan sehingga kini masih tiada aduan rasmi yang diterima oleh Pejabat KPDNHEP Selangor yang melibatkan harga tong air," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan air tak dapat dielak, atasi masalah pada Aidilfitri

Dalam kenyataan itu, Azizan juga mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga tong air dengan niat untuk mengaut keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

"Dan sekiranya perkara ini dihidu oleh pihak PKPDNHEP Selangor, tindakan akan diambil dan dibawa ke mahkamah.

"Jika disabitkan kesalahan, jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1juta manakala jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.

Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa harga tong air yang dijual. - Foto ihsan KPDNHEP Selangor
Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa harga tong air yang dijual. - Foto ihsan KPDNHEP Selangor

Selangor dan kawasan Lembah Klang akan dilanda gangguan bekalan air bermula esok. Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar sebelum ini memberi jaminan gangguan bekalan air yang sebelum ini dikatakan 86 jam akan pulih dalam tempoh 48 jam.

Gangguan bekalan air susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Pelaksanaan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu segera dibuat bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman memaklumkan sebanyak 106 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas.

Bagi kes kecemasan yang memerlukan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.