Suspek serang Kamal Adli akan dituduh esok

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki yang menyerang artis Malaysia Kamal Adli dalam kejadian di Singapura akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.

Menurut Polis Singapura (SPF), lelaki berusia 33-tahun itu akan dituduh di mahkamah kerana "disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.”

"Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu,” kata SPF dalam satu kenyataan malam ini.

Sebelum itu, SPF berkata pihak polis menerima panggilan tentang satu kes di Singapore Expo pada 9.19 malam hari Ahad (Mac 12) di mana suspek telah memukul seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan cota di lokasi itu.

"Cota itu dirampas dan dijadikan barangan kes dengan siasatan masih diteruskan," kata kenyataan itu.

SPF berkata, ia mengamalkan toleransi-sifar terhadap apa-apa tindakan keganasan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Kamal, 36, yang mengalami kecederaan terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di republik itu.

Kamal dan isteri Uqasha Senrose berada di Singapura bagi acara Hari Raya Mega Sale 2023 selama tiga hari bermula Jumaat yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.

Menurut Uqasha, kejadian berlaku di akhir acara itu tetapi tidak memberikan butiran apa yang menyebabkan suaminya itu diserang. - Bernama