Dua ahli politik terima bungkusan ekstrak daun ganja

Polis merampas bungkusan disyaki berisi ubat gigi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti, di sini pada Jumaat.
Polis merampas bungkusan disyaki berisi ubat gigi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti, di sini pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Polis merampas bungkusan disyaki berisi ubat gigi ekstrak daun ganja di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seorang lelaki yang juga petugas di pejabat pertanyaan di sebuah kementerian telah menerima satu panggilan telefon memaklumkan ada satu bungkusan di atas nama dua ahli politik.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang dan pada minggu lalu, pejabat ahli politik terbabit turut terima satu bungkusan mengandungi ‘daun kanabis'," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada setiausaha sulit kanan ahli politik berkenaan.

"Kita telah merampas satu tiub ubat gigi berpenutup berwarna hijau dan putih bercorak daun ganja mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi dan ekstrak daun ganja anggaran berat 80 gram yang dijumpai dalam bungkusan kotak," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, hasil siasatan mendapati bungkusan itu dibeli oleh pengirim melalui laman e-dagang yang beralamat di Indonesia.

"Siasatan mendapati barang dirampas tidak mempunyai kaitan dengan penama yang dialamatkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.