Wanita maut kereta rempuh tembok tol

Keadaan kenderaan dinaiki mangsa selepas merempuh tembok Plaza Tol Perling, awal pagi tadi.
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa selepas merempuh tembok Plaza Tol Perling, awal pagi tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh tembok Plaza Tol Perling, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun maut di tempat kejadian manakala rakan lelakinya yang juga pemandu kenderaan itu parah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Produa Myvi dari arah Gelang Patah mahu menuju ke Pasir Gudang.

"Berdasarkan siasatan awal, setibanya di tempat kejadian, kereta dinaiki dua mangsa ini telah hilang kawalan sebelum merempuh tembok simen di pekarangan plaza tol berkenaan.

"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa wanita berkenaan maut di tempat kejadian sementara rakannya parah tersepit dalam kenderaan itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati keadaan persekitaran ketika itu adalah cuaca terang serta permukaan jalan yang baik.

"Siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kemalangan sedang dijalankan.

"Sementara, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk proses bedah siasat,"

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.