Petinju negara dipilih Ketua Pemuda UMNO Iskandar Puteri

Muhamad Farkhan dipilih Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri yang baharu bagi penggal 2023-2026. - Foot UMNO Bahagian Iskandar Puteri
Muhamad Farkhan dipilih Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri yang baharu bagi penggal 2023-2026. - Foot UMNO Bahagian Iskandar Puteri
A
A
A

JOHOR BAHRU - Petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron dipilih Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri yang baharu bagi penggal 2023-2026.

Petinju berusia 35 tahun yang pertama kali bertanding itu mengalahkan Mohd Nobli Mohd Nassir dalam pemilihan jawatan sayap UMNO di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Gelang Patah dekat sini pada Sabtu lepas.

Keputusan itu disahkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri sebelum ini disandang Mohd Akmal Melan yang kini menjadi calon Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia.

Muhamad Farkhan menerusi hantaran di laman Facebook UMNO Bahagian Iskandar Puteri berkata, beliau komited untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat sekali gus mahu memperkasa parti itu.

Anak kepada bekas petinju negara, Allahyarham Mohd Haron Ismail itu berkata, UMNO Bahagian Iskandar Puteri juga akan terus diperkukuhkan dengan gandingan orang lama dan baharu. - Bernama