Kerajaan tidak bercadang mansuhkan HEP - Mohammad Yusof

Mohammad Yusof
Mohammad Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti awam kerana ia memainkan peranan yang sangat penting terutamanya berhubung pembangunan mahasiswa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, walaupun segala aktiviti dan pergerakan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa sendiri, HEP masih mempunyai mandat dan tanggungjawab lebih besar.

"Tugas hakiki mereka bukan sahaja untuk menguruskan perkara-perkara bersifat mikro sebaliknya antara lain menumpukan kepada pembangunan mahasiswa, membuka jaringan kerjasama dengan masyarakat dan industri dan merancang strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul tambahan dibawa Chow Yu Hui (PH-Raub) pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat pada Isnin yang mengemukakan usul agar HEP dimansuhkan bagi memberikan lebih autonomi kepada mahasiswa.

Menurut Mohammad Yusof, sehingga kini universiti cemerlang terkemuka dunia masih mengekalkan HEP walaupun pelajar mempunyai kebebasan penuh. - Bernama