Mahkamah tolak permohonan panggil semua dua saksi pakar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil semula dua saksi pakar dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, saksi yang mahu dipanggil semula adalah saksi ke-24 iaitu Pakar Bedah Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan saksi ke-27 iaitu Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood telah pun dipanggil dan membentangkan keterangan mereka.

"Kedua-dua mereka membentangkan keterangan berkenaan pemeriksaan klinikal, bedah siasat terhadap mayat Muhammad Adib, rekonstruksi, dapatan penemuan dan laporan pakar sudah dikemukakan di mahkamah.

"Mereka juga sudah menjelaskan segala persoalan yang diajukan pihak Pegawai Pengendali, pihak berkepentingan serta pihak mahkamah sendiri," katanya.

Beliau menambah, berkaitan hujahan eksperimen baharu yang dilakukan pada 12 April yang mahu dijelaskan, tiada permintaan daripada pihaknya (Koroner) untuk membuat rekonstruksi (lakonan semula) yang baharu.

"Tiada perkembangan baharu. Eksperimen ini hanya mahu mengukuhkan penemuan saksi ke-24 dan 27 yang sudah dibentangkan sebelum ini.

"Sekiranya dua saksi itu dipanggil semula, ia hanya akan mengukuhkan dapatan sebelum ini dan saksi ke-29 iaitu bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid juga terpaksa dipanggil semula," katanya dan menambah saksi ke-29 juga mungkin akan menjalankan eksperimen baharu bagi membantah eksperimen yang dijalankan saksi ke-24 dan 27.

"Ini akan berterusan dan tiada penamat sedangkan Koroner ada tanggungjawab untuk selesaikan dalam tempoh munasabah. Saya berpuas hati dengan kecukupan sedia ada bagi membolehkan saya mencapai keputusan sewajarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah, pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Koroner yang menolak permohonan mereka untuk memanggil semula dua saksi itu.

Rofiah kemudian menetapkan 10 Mei untuk keputusan inkues punca kematian anggota bomba itu.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.- Bernama