Lapor Perhilitan jika ada ancaman binatang buas

Laporan Sinar Harian mengenai insiden menimpa seorang pencari ikan darat yang digigit buaya di kawasan paya di Padang Papan, Manir, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai insiden menimpa seorang pencari ikan darat yang digigit buaya di kawasan paya di Padang Papan, Manir, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diminta segera melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sekiranya terserempak dengan binatang buas atau spesies terancam bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian lelaki digigit buaya di kawasan paya di Padang Papan, Manir, di sini, yang berlaku pada Jumaat lalu.

Namun, katanya, kawasan itu akan dipantau bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Sekiranya kawasan berkenaan merupakan habitat semulajadi buaya, kita tidak akan pasang perangkap sebaliknya hanya akan memasang papan tanda amaran supaya orang awam lebih berhati-hati.

"Sekiranya terdapat aduan atau ancaman oleh haiwan tersebut, kita akan pasang perangkap di kawasan itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Kean Seong, pihaknya sukar bertindak sekiranya tidak menerima laporan dan terdapat kemungkinan haiwan tersebut pergi ke lokasi lain.

"Kerjasama semua pihak penting. Laporkan secepat mungkin sebarang kejadian kepada Perhilitan dan tidak memuat naik sebarang video atau gambar di media sosial bagi mengelak kehadiran pemburu haram," katanya.

Jumaat lalu, seorang penangkap ikan darat berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor buaya dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam di Padang Papan, Manir dekat sini.

Ekoran kejadian itu, mangsa, Che Man Zakaria, 61 menerima 12 jahitan selepas dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).