Kumpul duit untuk buka laluan muara sungai tertutup

Komuniti pelancongan dan nelayan sepakat mengumpul wang untuk digunakan menyewa jengkaut bagi mengorek laluan keluar dari jeti Merang ke laut yang tertutup. Gambar dalam dari kiri :(Khairul Azizi Azhar dan Jamaludin
Komuniti pelancongan dan nelayan sepakat mengumpul wang untuk digunakan menyewa jengkaut bagi mengorek laluan keluar dari jeti Merang ke laut yang tertutup. Gambar dalam dari kiri :(Khairul Azizi Azhar dan Jamaludin
A
A
A

SETIU - Tidak tahan dengan masalah muara sungai Merang cetek dan tertutup yang tidak pernah selesai, sekumpulan pengusaha bot pelancong, resort dan nelayan di sini akhirnya memutuskan untuk mengambil inisiatif sendiri.

Mereka sepakat mengumpul dana untuk melaksanakan kerja-kerja membuka laluan muara sungai ke laut bagi membolehkan industri pelancongan dan perikanan yang menjadi sumber ekonomi penduduk kembali bernyawa.

Wakil komuniti yang juga pengusaha bot pelancong, Azhar Che Razak, 31, berkata, sebanyak RM19,800 hasil sumbangan daripada pengusaha bot, nelayan, pengusaha homestay dan resort di Pulau Redang berjaya dikumpulkan dalam tempoh 24 jam selepas kutipan dibuka pada Jumaat lalu.

Menurutnya, wang kutipan tersebut digunakan untuk menyewa sebuah jengkaut bermula Ahad bagi membuka laluan di muka muara ke jeti Merang dengan kadar bayaran sekitar RM1,200 sehari dan ia mula menampakkan kesan positif.

“Masalah muara cetek dan tertutup bukan benda baharu kerana berlaku setiap tahun tapi belum nampak penyelesaian sedangkan ia menjejaskan aktiviti harian kami sejak Oktober lalu.

“Selepas berbincang, kami akhirnya bersetuju mengumpul wang untuk mengorek muara tertutup ini sendiri, ada yang sumbang RM50, RM500 dan RM1,500 mengikut kemampuan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Keadaan muara sungai Merang ke laut yang tertutup dengan beting pasir, keadaan itu menjejaskan aktiviti nelayan dan pengusaha pelancongan di sana.
Keadaan muara sungai Merang ke laut yang tertutup dengan beting pasir, keadaan itu menjejaskan aktiviti nelayan dan pengusaha pelancongan di sana.

Kata Azhar, walaupun sedar penyelesaian itu hanya bersifat sementara sehingga projek utama dilaksanakan kerajaan namun usaha tersebut sedikit sebanyak mampu meringankan beban pengusaha yang terpaksa menanggung kerugian.

“Masalah pasir ini memberi impak yang besar kepada kami, selain tidak dapat membawa pelancong ke pulau, kos operasi juga meningkat kerana terpaksa memperuntukkan kira-kira RM10,000 setahun untuk selenggara enjin rosak dimasuki pasir,” katanya.

Muara sungai Merang merupakan laluan utama kira-kira 600 bot nelayan dan bot pelancong ke Pulau Redang, Lang Tengah serta Bidong setiap hari dan masalah itu memberi kesan kepada lebih 3,000 komuniti pelancongan dan nelayan di sini.

Senada dengan Azhar, pemilik Delima Redang Resort, Khairul Azizi Mohamad, 36, turut berdepan masalah sama apabila perlu membayar balik wang tempahan pelanggan antara RM85,000 hingga RM100,000 setahun.

Menurut Khairul Azizi, kerugian itu ditanggung selepas pelancong yang sepatutnya datang menginap di resort miliknya tidak dapat berbuat demikian.

“Puncanya adalah bot tidak dapat hantar pelancong kerana muara tertutup. Jika boleh pun, bot terpaksa ditolak atau pelancong perlu berhenti di beting pasir yang menutupi muara, berjalan bersama barang-barang dan naik bot lain yang tunggu di seberang.

“Situasi ini bukan hanya menjejaskan imej industri pelancongan di Terengganu malah turut melibatkan isu keselamatan pelancong,” katanya.

Wakil nelayan, Jamaludin Mohamad, 56, pula hanya mampu berharap masalah itu dapat diselesaikan supaya komuniti nelayan yang seratus peratus bergantung kepada hasil laut dapat mencari rezeki seperti biasa.

Jamaludin yang sudah 38 tahun menjadi nelayan berkata, dua bot miliknya tidak dapat keluar menangkap ikan sejak Oktober lalu dan keadaan itu memaksa dia bersama 38 awak-awak mencari kerja lain bagi menampung belanja harian.

“Kami sekarang terpaksa bekerja kampung buat sementara waktu, ada yang ambil upah tanam timun dan tangkap udang.

“Masalah tidak dapat turun ke laut juga menjejaskan bekalan ikan tempatan, jadi tidak hairanlah harga ikan sekarang agak mahal kerana peniaga terpaksa ambil bekalan hasil laut dari tempat lain,” katanya.