Hafidz Roshdi tak mengaku salah cederakan isteri

Hafidz Roshdi
Hafidz Roshdi
A
A
A

HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Pelakon, Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Isnin atas pertuduhan menumbuk hingga mencederakan isterinya dalam kejadian pada 2 Mac lalu.

Hafidz, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret.

Hafidz selaku tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk pipi kiri isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebanyak tiga kali hingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Kejadian itu dilakukan tertuduh pada jam 3.32 pagi di susur keluar Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitaan bawah Seksyen 323.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Elyza Amira Habeeb Rahman memohon kepada mahkamah supaya tertuduh diberikan jaminan selepas dirujuk dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.

Ia kerana berdasarkan siasatan pihaknya, Hafidz mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk Akberdin Abdul Kader merayu Hafidz dilepaskan dengan ikat jamin tanpa perlu dirujuk ke hospital psikiatri atas alasan lelaki itu hanya mengalami depresi dan bipolar iaitu bukan masalah kesihatan mental pada tahap teruk.

Ekoran itu mahkamah ditangguhkan kira-kira 40 minit untuk memberi ruang kepada Akberdin dan Timbalan Pendakwa Raya berbincang.

Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain perlu menjalani rawatan di Hospital Bahagia serta dilarang mengganggu mangsa dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan tertuduh.

Bintang filem Pusaka itu terdahulu ketika tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi peguamnya sempat menyapa petugas media.

Beliau yang berbaju kemeja berwarna hijau, berjaket kelabu dan berseluar hitam memberikan salam kepada wartawan, jurugambar dan juruvideo sebelum memasuki bangunan mahkamah.