Sengaja merompak kerana mahu dipenjara

Rompakan pelik itu berlaku di Wells Fargi Bank di Salt Lake City baru-baru ini. - Agensi
Rompakan pelik itu berlaku di Wells Fargi Bank di Salt Lake City baru-baru ini. - Agensi
A
A
A

SALT LAKE CITY - Mana-mana pesalah di dunia akan mencari pelbagai alasan bagi mengelak dihumban ke dalam penjara.

Namun, lain pula kisahnya dengan seorang warga emas di Amerika Syarikat (AS) apabila sengaja melakukan rompakan kecil semata-mata mahu ditangkap dan dihantar ke penjara persekutuan di negeri Utah.

Donald Santacroce, 65, dilaporkan masuk ke dalam Wells Fargo Bank di Salt Lake City pada pagi Isnin dan menyerahkan nota kepada salah seorang juruwang.

Nota tersebut bertulis: "Tolong maafkan saya kerana melakukan ini tetapi ini adalah rompakan. Tolong bagi saya AS$1 (RM4.25) terima kasih.”

Juruwang itu menyangka ia adalah gurauan, namun Santacroce bertegas bahawa dia baru sahaja melakukan rompakan dan duduk di kawasan lobi sementara menunggu ketibaan polis.

Selepas ditangkap, Santacroce merayu untuk ditahan dalam penjara dan mengugut melakukan rompakan serupa jika dibebaskan.

"Lelaki itu mahu menghabiskan sisa kehidupannya di dalam penjara. Mungkin dia hidup sebatang kara," kata seorang pegawai polis.

Santacroce ditahan di Penjara Metro Salt Lake County, namun dibebaskan 48 jam kemudian.

Ini bermakna bank-bank di bandar berkenaan menjangkakan satu lagi rompakan aneh tidak lama lagi.

NBC News melaporkan sebelum merompak bank, Santacroce telah ditahan kerana memandu secara cuai dan mempunyai lesen memandu tamat tempoh. - Agensi