Kisah tauliah dan pendakwah cap ayam

Pemegang tauliah diingatkan supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian. - Gambar hiasan
Pemegang tauliah diingatkan supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian. - Gambar hiasan
A
A
A

ISU tauliah mengajar di masjid terus diperdebatkan. Cerita bermula selepas ada penceramah terpaksa membatalkan program di masjid-masjid di beberapa negeri. Kalau pendakwah terbabit cuma ustaz biasa, keadaan mungkinlah tidak sekecoh sekarang.

Sebaliknya, ia melibatkan individu popular dan berpengaruh. Pendek kata, kalau mereka yang berceramah, jemaah datang sampai melimpah ke luar masjid. Video ceramah mereka pula banyak dalam YouTube dan ditonton ratusan ribu orang.

Hendak dijadikan cerita, khutbah Jumaat yang Merak Jalanan ikuti di masjid di sebuah negeri minggu lalu juga bercerita tentang hal ini.

Isi khutbah itu antara lain mengingatkan penceramah supaya menggunakan tauliah mengajar pada situasi yang betul, bukan untuk keuntungan peribadi.

Kadangkala orang lebih ingat lawak berbanding ilmu yang disampaikan. Akhirnya masyarakat lebih tertarik kepada penceramah kerana lawaknya, bukan ilmunya.

Pemegang tauliah juga diingatkan supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian. Begitulah inti pati khutbah berkenaan.

Merak Jalanan tahu ada yang kata khutbah itu seperti menyindir tokoh tertentu. Tetapi Merak Jalanan percaya baik penceramah mahupun majlis agama Islam, kedua-duanya mahukan yang terbaik untuk menyuburkan dan memelihara kesucian Islam.

Jadi isu ini sepatutnya tidak dibesar-besarkan. Penceramah eloklah dapatkan tauliah kerana prosesnya tidaklah susah. Di Selangor contohnya, ada seramai 5,642 penceramah yang dapat tauliah mengajar, di Terengganu pula ada 1,313 penceramah bertauliah.

Kalau pihak berkuasa sengaja nak menyusahkan, mungkin tidaklah sebanyak itu perakuan tauliah dikeluarkan.

Apa pun Merak Jalanan harap isu tauliah ini selesai cara baik. Apatah lagi individu tertentu itu bukan ustaz cap ayam kerana mereka juga dapat tauliah mengajar di negeri lain.