Selangor juara ragbi Maksak Malaysia 10s

Pemain Selangor meraikan kejayaan menjuarai Kategori Cup Maksak Malaysia 10s 2023 Stadium Ragbi Perak, Ipoh pada Ahad. - Foto Bernama
Pemain Selangor meraikan kejayaan menjuarai Kategori Cup Maksak Malaysia 10s 2023 Stadium Ragbi Perak, Ipoh pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR mengungguli Kejohanan Ragbi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) Malaysia 10 Sebelah (10s) 2023 selepas menumbangkan PDRM 19-0 dalam perlawanan akhir Kategori Cup di Stadium Ragbi Perak, Ipoh pada Ahad.

Kejayaan tersebut sekali gus menebus kekecewaan Selangor yang sekadar merangkul kedudukan naib juara dalam kejohanan sama tahun lepas, setelah tewas kepada ATM 0-3.

Selangor yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan Raimi Mohd Yusof, dilihat lebih mendominasi aksi apabila mendahului PDRM 7-0 menerusi try oleh Muhammad Nazreen Fitri Nasrudin pada minit kelapan, serta conversion yang berjaya disempurnakan Muhammad Faridzur Ismail di minit kesembilan.

Babak kedua, Selangor terus melebarkan kedudukan kepada 14-0, kali ini giliran Muhammad Farid Fauzi menyudahkan try pada minit ke-12 manakala Muhammad Nazreen Fitri melakukan conversion di minit ke-13.

Muhammad Nazreen Fitri terus menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan apabila menyempurnakan try pada minit ke-20 sekali gus menutup peluang PDRM untuk bangkit.

Sementara itu, Raimi berkata, kejuaraan Selangor adalah bersandarkan kepada faktor pengalaman selain komitmen para pemainnya yang berjaya mengunci pergerakan dan strategi pasukan lawan.

“Kelebihan kita adalah berdasarkan faktor pengalaman iaitu empat bekas pemain kebangsaan dan seorang pemain kebangsaan berada dalam pasukan. Faktor ini yang kita gunakan sepenuhnya dan menjadi sebab utama kita muncul juara,” katanya.

Bagi perlawanan akhir Kategori Shield, Melaka berjaya menggenggam kejuaraan selepas mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan 17-5, manakala dalam aksi final Kategori Bowl, Johor muncul juara selepas membelasah Pahang 48-0.

ATM pula menjulang kejuaraan dalam Kategori Plate selepas menundukkan Sabah 22-0.

Sebanyak 17 pasukan menyertai kejohanan kali ini, terdiri daripada ATM, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Penjara Malaysia, Kelantan, PDRM, Perlis, Sabah, Johor, Sarawak, Perak, Labuan, Kuala Lumpur dan Pahang.