Nafiri perang PRN sudah dibunyikan- Hamzah

Hamzah menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Yang Kelima Tahun 2022 Bersatu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Hamzah menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Yang Kelima Tahun 2022 Bersatu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR- Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung dalam masa terdekat akan menjadi penentu kepada survival dan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Justeru, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta agar semua jentera di peringkat akar umbi untuk tidak lalai dan berada dalam ‘silent mood’.

“Nafiri perang Pilihan Raya Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah dibunyikan. Pilihan raya bukanlah satu pertarungan yang enteng.

“Mereka akan melakukan apa sahaja demi untuk mengalahkan kita. Pilihan raya bukan sekadar penentu kepada survival dan hala tuju parti kita, malah ia akan menentukan berapa lama hayat kerajaan campuran ini mampu untuk bertahan.

“Bangunlah wahai pejuang dan penyokong parti, bangunlah. Wajib kita bersedia untuk berperang demi mempertahankan kebenaran. Bangunlah demi untuk menjaga parti keramat yang kita cintai ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan bahawa sekarang bukanlah masa untuk anggota parti bersengketa dan bermasam muka sesama sendiri sebaliknya bersatu sebagai satu kumpulan yang padu dan kukuh demi masa depan perjuangan parti.

“Kita buktikan solidariti kita bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu). Marilah kita bersama-sama gerakkan jentera di seluruh negara dan tunjukkan solidariti serta kekuatan kita, ibarat lima jari yang digenggam menjadi tumbukan maut.

“Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa dan biarlah ringan sama dijunjung, berat sama dipikul. ‘Sir, we all stand together with you’,” ujar beliau.

Beliau menambah, semangat yang tengah membara ketika ini seiring sejalan kerana PRN akan berlangsung dalam masa terdekat.

Katanya, ia peluang terbaik untuk Bersatu dan PN membuktikan kepada semua bahawa rakyat menolak kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kita akan jadikan PRN ini sebagai referandum keyakinan rakyat kepada Perikatan Nasional untuk memimpin negara. Insya-ALLAH, jika semangat inilah yang digalas bersama, kejayaan akan menjadi milik kita,” katanya.