SPRM tahan pengurus jabatan disyaki salah guna jawatan

SPRM menahan seorang pengurus di sebuah jabatan kerajaan Persekutuan di Terengganu pada Ahad. - Gambar hiasan
SPRM menahan seorang pengurus di sebuah jabatan kerajaan Persekutuan di Terengganu pada Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus di sebuah jabatan kerajaan Persekutuan di Terengganu pada Ahad.

Individu itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan pada sekitar 2019 hingga 2022.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan di pejabat SPRM Terengganu semasa hadir memberi keterangan.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu jam 9 pagi Isnin bagi tujuan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.