Liga Super: Perlawanan Negeri Sembilan-KL City ditunda

Keadaan padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang menjadi venue perlawanan Negeri Sembilan menentang KL City malam ini.
FOTO : Ehsan Pembaca
Keadaan padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang menjadi venue perlawanan Negeri Sembilan menentang KL City malam ini. FOTO : Ehsan Pembaca
A
A
A

MISI Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk meraih tiga mata pertama musim ini tertunda apabila perlawanan Liga Super kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu ditangguhkan susulan cuaca buruk dan keadaan padang dipenuhi air.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan, keadaan padang di Paroi itu didapati tidak sesuai diadakan perlawanan untuk skuad kendalian K Devan dan Bojan Hodak itu.

"Perlawanan LS4 Liga Super 2023, Negeri Sembilan FC menentang Kuala Lumpur City FC terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk dan keadaan padang yang ditakungi air.

"Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat," kata pengendali liga itu di Facebook rasminya pada Sabtu.

Pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal sebelum itu memberhentikan perlawanan pada minit ke-27 apabila hujan lebat masih berterusan sejak jam 6.30 petang tadi.

Ketika perlawanan dihentikan kedua-dua pasukan masih buntu memecah jaringan masing-masing.

Untuk rekod, Negeri Sembilan kini mengumpul dua mata, manakala KL City pula dua mata selepas mengharungi tiga perlawanan sebelum ini.

Tambah menarik kedua-dua pasukan berprofil tinggi Liga Malaysia 2023 tersebut masih buntu untuk mengakhiri kemarau 270 minit tanpa kemenangan.

Sementara itu, Negeri Sembilan FC memaklumkan, semua pemegang tiket perlawanan malam ini boleh menggunakan kembali tiket pada hari perlawanan tersebut.

"Bagi tujuan pengesahan, pemegang tiket fizikal diminta untuk membawa potongan tiket yang telah dibeli.

"Untuk pembeli tiket secara dalam talian, anda hanya perlu menunjukkan screenshot (tangkap layar) pembelian. Kami memohon maaf atas segala kesulitan," katanya dalam Facebook rasminya.