Muhyiddin luang masa tinjau Perhimpunan Agung Armada

Ketibaan Muhyiddin untuk meninjau Perhimpunan Agung tahunan Armada kali yang ke-5 di Kuala Lumpur pada sabtu. - Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan
Ketibaan Muhyiddin untuk meninjau Perhimpunan Agung tahunan Armada kali yang ke-5 di Kuala Lumpur pada sabtu. - Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun sedang berdepan tuduhan di mahkamah, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap meluangkan masa meninjau Perhimpunan Agung Tahunan Armada, di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang tiba kira jam 2.30 petang itu turut diiring beberapa pimpinan tertinggi parti itu. Ketika ini Ahli Parlimen Pagoh itu berada di dalam dewan bagi mendengar perbahasan Armada yang diadakan secara tertutup.

Pada Jumaat, Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa di mahkamah ini atas tuduhan jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah. Pada hari sama, Adam Radlan dituduh atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa. ends