Penunggang maut dilanggar kereta masuk simpang

Keadaan di lokasi selepas kejadian. -Foto sumber orang awam
Keadaan di lokasi selepas kejadian. -Foto sumber orang awam
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat nahas dengan sebuah kenderaan di Kilometer 29,Jalan Kuala Pilah-Seremban, pada pagi Sabtu.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian pada jam kira-kira 8 pagi membabitkan kenderaan dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah Kampung Talang menghala ke Seri Menanti dengan seorang penunggang motosikal berusia 27 tahun dari Kuala Pilah menghala Seremban.

"Apabila sampai di tempat kejadian, semasa motosikal berkenaan sedang bergerak terus, tiba-tiba kenderaan berkenaan disyaki masuk ke simpang kanan arah ke Seri Menanti secara mengejut dan berlaku perlanggaran.

"Akibat dari perlanggaran itu,penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Manakala pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Pilah bagi pengendalian bedah siasat.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.