Tangkap komunis hidup-hidup

Muda menunjukkan gambar ahli keluarganya.
Muda menunjukkan gambar ahli keluarganya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengalaman menangkap 16 pengganas komunis tanpa melibatkan sebarang pertumpahan darah dalam Ops Kelah pada tahun 1981 masih segar dalam ingatan bekas anggota pasukan dinamakan sebagai F Team Polis Diraja Malaysia, Sub Inspektor Muda Aziz.

Dalam peristiwa itu, F Team berjaya merampas sejumlah besar senjata api dan alat komunikasi yang dibawa askar komunis dari selatan Thailand.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, Muda, 71, berkata, operasi berkenaan diketuai Deputi Superintendan Kamarudin Hashim Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Kenny.

Muda (kiri) bersara daripada PDRM pada tahun 2010.
Muda (kiri) bersara daripada PDRM pada tahun 2010.

Beliau berkata, Ops Kelah dilancarkan ke atas Unit Penggempur Ke-16 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyusup masuk dari Selatan Thailand.

“Pengganas komunis ini masuk melalui Banjaran Titiwangsa dari Perak dan Kelantan, menuju ke selatan sehinggalah sampai ke Kuala Lipis, Pahang.

“Misi mereka ialah menghubungi Unit Penggempur Ke-6 PKM untuk memberi bantuan senjata api dan alat perhubungan tambahan,” katanya.Disebabkan terlibat operasi tersebut, bapa kepada tiga anak itu tidak dapat bersama isterinya ketika melahirkan anak sulung.

Muda (duduk) pernah berkhidmat di Balai Polis Labuan.
Muda (duduk) pernah berkhidmat di Balai Polis Labuan.

“Saya perlu meninggalkan keluarga demi menggalas tanggungjawab untuk menjayakan operasi itu,” ceritanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muda berkata, Ops Kelah dilaksanakan sendiri oleh F Team tanpa bantuan daripada lain-lain pasukan keselamatan.

Hasilnya, F Team berjaya menghalang pertemuan dan penyatuan kedua-dua unit penggempur berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, membunuh pengganas komunis bukan tugas utama F Team kerana mereka perlu menangkap hidup-hidup musuh terbabit supaya dapat mengumpulkan maklumat berkaitannya.

“Tugas dan tanggungjawab ini sebenarnya adalah lebih rumit, berat dan mencabar jika dibandingkan dengan tugas membunuh musuh,” katanya sambil menjelaskan, F Team hanya sebuah pasukan kecil melibatkan bilangan keanggotaannya tidak melebihi 50 orang dalam satu-satu masa operasi.

Lebih menarik, kata Muda, keanggotaan F Team terdiri daripada pelbagai kaum yang diserap masuk dari Pasukan Polis Hutan (PPH) serta bekas pengganas komunis.

F Team bagaimanapun telah dibubarkan secara rasmi pada 1 Mei 1995.

“Jasa dan pengorbanan mereka tetap disanjung dan nama mereka dijulang sebagai wira negara yang sanggup berkorban jiwa dan raga walaupun tidak dikenali ketika negara berhadapan dengan ancaman komunis,” ujar Muda.

Berasal dari keluarga petani

Menceritakan latar belakang keluarga, Muda memberitahu, beliau berasal dari keluarga petani di Kampung Tembun, Kuala Klawang, Negeri Sembilan sebelum merantau ke ibu kota pada tahun 1969.

“Pada ketika itu, saya tinggal di rumah kakak di Sungai Besi dan bekerja di sebuah kilang di Jalan Kuchai Lama dengan gaji RM2.50 sehari.

Bersama rakan sepasukan berehat ketika menjalani operasi di dalam hutan.
Bersama rakan sepasukan berehat ketika menjalani operasi di dalam hutan.

“Saya kemudian bekerja di kilang lain dengan gaji sebanyak RM6 sehari, sebelum menerima tawaran bekerja sebagai kakitangan awam di Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi,” ujarnya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 7 April 1975.

“Rakan sepasukan saya ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur ialah Datuk Rabuan Pit. Seperti kita tahu, beliau pelari terpantas di Asia dan pernah meraih pingat emas acara 100 meter dalam Sukan Asia di New Delhi, India pada tahun 1982.

“Selain itu, bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun juga menjadi squadmate (rakan sepasukan) saya ketika menjalani latihan selama enam bulan di Pulapol Kuala Lumpur,” katanya.

Muda berkata, beliau kemudian dihantar menjalani latihan dalam PPH di Ulu Kinta, Perak pada November tahun sama.

“Selepas menjalani latihan tersebut, saya telah ditugaskan bersama pasukan Batalion 5 PPH di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur,” katanya.

Muda berkata, beliau bersama rakan sepasukan Batalion 5 PPH telah diarahkan untuk menjadi pengiring dan memantau keselamatan para petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dalam Ops Topo di sempadan Malaysia-Thailand.

“Tugas escort (mengiringi) para petugas itu sangat meletihkan kerana di samping menjaga keselamatan, kami terpaksa berjalan mendaki bukit, hanya untuk memastikan kerja menanam batu-batu sempadan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, pasukan yang terlibat dalam operasi itu perlu sentiasa berwaspada kerana kawasan tersebut banyak jerangkap samar, selain bimbang pengganas komunis melancarkan serang hendap terhadap pasukan keselamatan.

“Saya dimaklumkan ada insiden melibatkan satu pasukan dari Batalion 6 PPH telah diserang hendap oleh pengganas komunis dalam Ops Topo.

“Saya juga pernah melihat sendiri rakan sepasukan cedera parah akibat terpijak jerangkap samar,” katanya.

Selain Ops Topo, Muda juga pernah ditugaskan dalam Ops Bamboo iaitu salah satu operasi terpenting dan paling lama dilancarkan oleh pihak pasukan keselamatan bagi menentang pengganas komunis.

“Operasi itu bermula pada tahun 1959 sehingga Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara kerajaan Malaysia dan PKM,” katanya.

Jelas beliau, Ops Bamboo meliputi kawasan hutan yang amat luas melibatkan dua buah negeri iaitu Perak dan Kelantan serta kawasan sempadan dengan Thailand.

“Banjaran Titiwangsa di kawasan Ops Bamboo menambah tahap kesukaran bagi anggota keselamatan untuk mengesan dan memburu komunis,” ujarnya.

Muda berkata, beliau kemudian telah ditukarkan ke pasukan F Team untuk menggempur pengganas komunis pada 1 Jun 1980.

“Pasukan ini berjaya membanteras kumpulan pengganas komunis sejak 1971 hingga 1989,” katanya.

Parah dalam kemalangan

Muda juga pernah cedera parah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tengah, Kuala Lumpur pada tahun 1982.

“Pada ketika itu, saya sedang melakukan rondaan dengan menunggang motosikal. Tiba-tiba sebuah kereta merempuh motosikal saya menyebabkan saya tercampak dan kedua-dua kaki patah,” katanya.

Beberapa bulan selepas insiden itu, beliau ditukarkan ke Bahagian E3, Cawangan Khas Bukit Aman.

“Saya ditugaskan untuk mengendalikan peralatan komunikasi dalam unit tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian E3 Cawangan Khas bertanggungjawab dalam hal ehwal teknikal seperti proses pemantauan, bantuan, serta pentadbiran teknikal dalam sesebuah operasi yang dijalankan.

“Pada ketika itu, saya terlibat berkaitan hal ehwal teknikal dalam Operasi Chien Meh. Walaupun tidak lagi bersama dengan F Team, saya masih membantu rakan sepasukan dalam menjayakan operasi itu,” katanya.

Beliau juga pernah ditugaskan berkaitan isu keselamatan ketika mesyuarat melibatkan orang kenamaan (VIP) di kedutaan Malaysia di luar negara.

“Saya perlu memastikan keadaan di lokasi selamat serta tiada unsur-unsur leaking (kebocoran) sebelum mesyuarat penting itu berlangsung di kedutaan tersebut,” ujarnya ringkas.

Muda akhirnya bersara daripada pasukan PDRM pada tahun 2010.

Di atas jasanya, beliau menerima Pingat Pangkuan Negara pada 2001, Pingat Bentara Pasukan Polis (2006) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (2015).

Muda berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang menimba ilmu serta kemahiran sepanjang 35 tahun dalam PDRM.

“Sepanjang tempoh itu, saya menyertai pelbagai kursus yang ditawarkan, antaranya kursus automotif dan baik pulih, komputer, radio serta kemahiran fotografi.

“Anggota polis yang masih berkhidmat sebaiknya menyertai kursus ini supaya ilmu tersebut boleh digunakan selepas bersara kelak,” ujarnya.