Wanita maut, seorang melecur kebakaran lapan rumah

Lapan rumah di Jalan Haji Hassan 3, Kampung Pertanian, Masai musnah dalam kebakaran, pada Jumaat.
Lapan rumah di Jalan Haji Hassan 3, Kampung Pertanian, Masai musnah dalam kebakaran, pada Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang wanita maut manakala seorang lelaki melecur dalam kebakaran melibatkan lapan rumah di Jalan Haji Hassan 3, Kampung Pertanian, Masai di sini pada Jumaat.

Kebakaran jam 3 pagi itu mengakibatkan mangsa dikenali sebagai Rahmaniyah, 33, maut akibat melecur dan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga ahli keluarganya melecur tetapi terselamat.

Insiden tersebut secara keseluruhan membabitkan 27 mangsa daripada lapan keluarga melibatkan lapan rumah itu yang kebanyakannya disewa.

Jiran mangsa, Laie Sawang, 48, berkata, ketika kejadian, dia, suami dan dua cahaya mata sedang nyenyak tidur sebelum terjaga selepas mendengar bunyi dentuman kuat dipercayai letupan gas dapur dari rumah jirannya.

"Kami terkejut apabila mendapati api sudah marak ke sebahagian kediaman kami sebelum bertindak pantas untuk menyelamatkan diri.

"Kami tidak dapat selamatkan apa-apa barangan dan tinggal sehelai sepinggang kerana hanya fikir untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Dia yang bekerja di kilang perabot dan sudah menyewa selama 20 tahun di kawasan tersebut tidak menyangka rumah didiami musnah sekelip mata namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

"Bagaimanapun kami sedih dengan nasib malang menimpa Rahmaniyah atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Suriz yang melecur dan dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Masai, Indera Putra Ibrahim berkata, semua mangsa ditempatkan di Balai Raya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pertanian selepas kehilangan tempat tinggal.

27 mangsa daripada lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu.
27 mangsa daripada lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana seorang ahli perniagaan tampil menawarkan tempat tinggal sementara bagi mereka sehingga mereka berjaya mencari rumah sewa lain," katanya.

Dalam pada itu, ahli perniagaan berkenaan, Sukudesnedi Nadzir, 57, berkata, dia menawarkan tempat tinggal di sebuah premis miliknya kepada lapan keluarga itu selain barangan keperluan serta wang tunai bagi kepada mereka bagi meringankan beban.

"Terdetik niat untuk membantu mereka kerana mereka semuanya tinggal sehelai sepinggang. Kebetulan premis perniagaan itu yang saya beli dua bulan lalu memang memiliki beberapa bilik dan sesuai dijadikan tempat tinggal bagi sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Pasir Gudang dan Johor Jaya dengan kekuatan 17 anggota ke tempat kejadian.

"Kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal. Pada awalnya, dua-dua mangsa melecur itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat melecur untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.