Polis cari Poo Kiong, Kar Yan bantu siasatan kes bunuh

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian pada 1 Mac lepas. Gambar kecil dari kiri: Sin Poo Kiong, Leong Kar Yan
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian pada 1 Mac lepas. Gambar kecil dari kiri: Sin Poo Kiong, Leong Kar Yan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis sedang mengesan dua individu yang merupakan saksi utama kes seorang lelaki yang maut selepas disyaki ditikam dengan objek tajam dalam kejadian di hadapan Medan Selera Cina, Pekan Lukut, di sini pada 1 Mac lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dua individu itu merupakan seorang lelaki bernama Sin Poo Kiong, 40 tahun dan seorang wanita, Leong Kar Yan berusia 34 tahun.

"Masing-masing beralamat terakhir di Bandar Baru Permas Jaya, Masai Johor dan Taman Johor Jaya, Johor Baharu.

"Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan kita sedang mengesan dua orang saksi utama ini yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan kes ini yang disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pihak polis memohon jasa baik orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan saksi utama kejadian ini untuk segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

"Mereka juga boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Muhammad Azril Ahmad Rapiee di nombor 012-7791224," katanya.