1MDB: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dijel 10 tahun

ROGER NG. - Agensi
ROGER NG. - Agensi
A
A
A

NEW YORK - Mahkamah Amerika Syarikat (AS) di New York pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berikutan penglibatannya dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Juri New York pada April 2022 mendapati Roger bersalah dalam skim yang melibatkan dana pelaburan 1MDB berikutan keterangan daripada seorang lagi bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner dan seorang lagi rakan subahatnya.

Jumlah rampasan akan ditentukan kemudian, kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan akhbar.

“Roger Ng adalah pemain utama dalam skim yang bukan sahaja menganiaya rakyat Malaysia tetapi juga berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, pasaran, perniagaan dan institusi lain pada skala global.

“Hukuman hari ini adalah hukuman yang adil untuk jenayah defendan dan menjadi satu amaran bahawa terdapat harga yang besar perlu dibayar untuk rasuah korporat," kata Peguam AS Breon Peace.

Dana 1MDB ditubuhkan untuk mempromosikan ekonomi Malaysia, tetapi dirompak dalam skandal yang menggugat politik negara dan mencemarkan reputasi Goldman.

Menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ), Roger dan rakan subahatnya membayar lebih daripada AS$1 bilion (RM4.5 bilion) rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mendapatkan tiga transaksi bon besar untuk Goldman dengan 1MDB.

Tambah kenyataan DOJ, sebahagian daripada wang itu dibelanjakan untuk barangan mewah, seperti lukisan Jean-Michael Basquiat bernilai AS$51 juta (RM230 juta) dan beg tangan Hermes.

Leissner yang mengaku bersalah pada Ogos 2018 atas dua pertuduhan jenayah dan kini sedang menunggu hukuman. - AFP