Klip video lama penceramah hina, fitnah polis ditular kembali

Polis mengesan satu klip video pada tahun 2016 yang kembali ditularkan di media sosial.
Polis mengesan satu klip video pada tahun 2016 yang kembali ditularkan di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Klip video menghina dan memfitnah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diambil tindakan dikesan ditularkan kembali di media sosial.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, klip video berdurasi 55 saat memaparkan seorang penceramah agama mengeluarkan kenyataan menghina dan memfitnah warga PDRM ketika berceramah ialah rakaman pada tahun 2016.

"Penceramah itu mendakwa bahawa polis tidak sembahyang Jumaat serta menggelarkan anggota polis sebagai bodoh kerana membuat tugasan perangkap had laju di jalan raya.

"Rekod menunjukkan penceramah terbabit telah dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) di Mahkamah Majistret Barat Daya, Pulau Pinang pada 26 Ogos 2016," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, penceramah terbabit telah dijatuhi hukuman denda RM7,000.

Ujarnya, orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memberi sebarang kenyataan dan tidak mengeluarkan ucapan berunsur fitnah yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Polis turut menasihatkan agar orang ramai tidak menyebar atau berkongsi lanjut klip video terbabit di mana-mana platform media sosial.

"Perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.