Telefon bimbit kayangan pun ada 'insurans nyawa'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, Merak Jalanan berbual dengan adik mengenai telefon bimbit harga kayangan. Memang padanlah dengan harga tinggi melangit kerana serba canggih dan dilengkapi teknologi terkini.

Cuma apa yang dapat Merak Jalanan dapat simpulkan, semakin canggih teknologi yang digunakan, semakin pendek pula jangka hayat telefon bimbit.

Kenapa Merak Jalanan kata macam tu? Kerana menurut adik Merak Jalanan, telefon bimbit milik rakannya rosak walaupun baru setahun digunakan. Bukan jenama 'cokia' tetapi sangat popular.

Secara kebetulan, Merak Jalanan juga pernah gunakan telefon bimbit jenama sama. Sudah takdir barangkali, selang beberapa minggu, telefon bimbit tersebut mula meragam.

Sedih kerana telefon bimbit berharga kayangan itu baru sahaja tamat tempoh jaminan. Jika nak baiki kena sediakan duit. Bukan sedikit tapi RM2,500.

Wow! Mendengarnya sahaja dah terkejut. Bukan apa, dengan harga setinggi itu, Merak Jalanan boleh beli telefon bimbit yang lain.

Itulah, orang guna telefon canggih, Merak Jalanan pun nak pakai telefon yang sama. Kononnya tak mahu nampak ketinggalan walaupun guna hanya untuk perkara asas. Buat panggilan, WhatsApp, guna internet dan bergambar.

Belum habis terkejut dengan harga nak repair telefon, sekali lagi Merak Jalanan terkedu apabila diberitahu oleh pekerja pusat servis tersebut, telefon bimbit harga kayangan perlu diambil insurans.

Barulah Merak Jalanan tahu, bukan manusia dan kereta sahaja yang perlukan insurans, hari ini telefon bimbit pun perlu dibelikan 'insurans nyawa’.

Jadi kepada pengguna di luar sana, sebelum beli sebarang gajet atau peralatan canggih berharga kayangan, periksa dahulu segala maklumat diperlukan.

Jangan jadi macam Merak Jalanan yang kini dalam dilema sama ada nak buang sahaja telefon bimbit yang dah rosak atau beli sahaja yang baharu.

Dua-dua pilihan kena keluar duit!