Kelantan tidak mahu jadi bandar koboi

Pasar Karat Kota Bharu. - Foto Media sosial (Gambar kecil: Dr Izani Husin)
Pasar Karat Kota Bharu. - Foto Media sosial (Gambar kecil: Dr Izani Husin)
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak mahu negeri ini terutama Kota Bharu menjadi bandar koboi dengan penjaja membuka gerai perniagaan tanpa sistem yang teratur.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, pihaknya mempunyai pelan Rancangan Tempatan yang ditetapkan dan perlu dipatuhi meliputi zon-zon seperti tempat berniaga dan pusat rekreasi.

“Ada tempat berniaga dibuat secara haram tetapi kami banyak berkompromi dan bertolak ansur,” katanya.

Pada masa sama, pihak kerajaan negeri sentiasa melihat tempat-tempat baharu yang boleh dibuka untuk membolehkan rakyat melakukan perniagaan di samping isu kebersihan diurus secara terancang oleh pihak berkuasa tempatan.

“Terbaharu akan dibuka Dataran Muhammadi untuk memindahkan 22 perniaga berdekatan Flat Buluh Kubu yang dijangka selepas Aidilfitri.

“Kita tidak mahu persekitaran yang kotor dan perpindahan dilakukan untuk menjadikan keadaan bersih dan membawa imej lebih baik di Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Menurut Dr Izani, perniagaan dekat Flat Buluh Kubu itu diusahakan di atas tanah persendirian tanpa sebarang sewa sama seperti yang berlaku di Lembah Sireh.

“Untuk lokasi ekslusif di Lembah Sireh sememangnya sudah tidak boleh berkompromi kerana melibatkan pemilik-pemilik premis yang menanggung kos bayaran tinggi bangunan mereka.

“Permintaan tidak mampu ditampung walaupun banyak tempat disediakan dan peniaga pula memilih jalan pintas tidak mahu menyewa kerana menelan kos,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan menyediakan banyak tempat untuk berniaga seperti Dataran Bandar Raya dan Pasar Karat selain pembukaan tapak yang mengambil kira keadaan lalu-lintas serta pematuhan tahap kebersihan selepas berniaga.

Sebelum ini, peniaga-peniaga di pekarangan tempat letak kereta di Lembah Sireh diarah menghentikan operasi mereka kerana didakwa menyebabkan lokais kotor selain menghalangan lalu-lintas, tempat letak kereta malah pili bomba.