Estet padi berskala besar dibangunkan di Sabah, Sarawak

FELCRA Berhad akan membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu keterjaminan makanan negara. - Gambar hiasan
FELCRA Berhad akan membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu keterjaminan makanan negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi FELCRA Berhad akan membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu keterjaminan makanan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia melibatkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah serta Parlimen Sri Aman di Sarawak dengan keluasan sekitar 15,000 hingga 20,000 hektar.

"Estet padi ini akan kita buka tanpa menghilangkan hak tanah kerajaan negeri dan hak milik individu sepertimana yang berjaya dilaksanakan di Pasir Salak yang dikenali sebagai Estet Padi Seberang Perak.

"Saya telah meminta sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat kementerian dan kerajaan negeri digerakkan sepenuhnya dua hari lepas untuk memberikan beberapa input yang diperlukan kepada kementerian bagi membantu Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keterjaminan Makanan,” katanya.

Ahmad Zahid yang berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, pada Khamis turut merakamkan penghargaan terhadap kedua-dua kerajaan negeri atas komitmen tinggi yang ditunjukkan bagi membolehkan hasrat itu direalisasikan.

Beliau berkata, selain itu, bagi tujuan menambah bekalan makanan negara, beberapa agensi berkaitan termasuk FELCRA dan FELDA akan menambah projek bekalan makanan negara seperti penternakan ayam, lembu pedaging dan Projek Urban Farming tanaman fertigasi melibatkan usahawan kecil dan sederhana di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 300 belia dalam kalangan masyarakat Orang Asli berjaya memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.

Menurutnya pada tahun lepas seramai 330 orang berjaya memasuki universiti dan ia merupakan pencapaian yang baik dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat tersebut, Ahmad Zahid berkata, KKDW telah membentuk Urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor dilantik sebagai pengerusi.

Beliau berharap dengan kenaikan peruntukan kepada Jakoa iaitu sebanyak RM156.6 juta pada tahun ini, pembangunan generasi baharu masyarakat Orang Asli turut dapat ditingkatkan.

Menyentuh mengenai getah cair atau lateks, beliau berkata, negara masih mengimport 80 peratus bahan itu dari negara luar dengan nilai hampir RM3 bilion.

"Dalam keadaan ini, kita ambil beberapa langkah terutamanya menambah depoh pengeluaran lateks daripada 51 yang ada sekarang, kita tambah 15 depoh lagi bagi mempertingkatkan pengeluaran lateks serta mengurangkan pengimportan,” katanya.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (Risda) turut memberikan tumpuan kepada penanaman dan penyelenggaraan, pembajaan, penggunaan bahan rangsangan lateks, penorehan dan pemasaran hasil.

Bagi pengumpulan hasil lateks, Ahmad Zahid berkata peruntukan RM750,000 diberikan dan dijangka memanfaatkan seramai 1,500 pekebun kecil. - Bernama