Penyokong Muhyiddin bergerak ke Taman Melewar, sertai solat hajat

Setakat jam 3.30 petang, kenderaan membawa Muhyiddin masih belum keluar dari bangunan SPRM.- Foto Astro AWANI
Setakat jam 3.30 petang, kenderaan membawa Muhyiddin masih belum keluar dari bangunan SPRM.- Foto Astro AWANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan penyokong yang hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis untuk memberikan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat mula meninggalkan kawasan tersebut.

Puluhan penyokong termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilihat tiba pada jam 3 petang tadi sebelum semakin ramai beransur pulang pada jam 3.20 petang.

Begitupun, masih ada pemimpin yang tiba pada jam 3.30 petang termasuk Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang turut ditemani penyokong Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan temu bual ringkas bersama Saifuddin, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memberitahu proses siasatan akan mengambil masa yang lama.

"Lama lagi ni... Kami pergi ke Taman Melewar (Gombak) dulu (sertai Solat Hajat). Penyokong pun akan pergi sana.

"Nanti bila Tan Sri (Muhyiddin Yassin) dah selesai, beliau akan terus ke sana," katanya kepada Astro AWANI.

Begitupun, beliau tidak berkongsikan perincian lanjut mengenai program di Taman Melewar itu.

Setakat jam 3.30 petang, kenderaan membawa Muhyiddin masih belum keluar dari bangunan SPRM.

Beliau sebelum itu tiba pada jam 11.15 pagi tadi sebelum masuk ke dalam bangunan pada jam 11.22 pagi bagi memberikan keterangan kepada SPRM. - Awani