Pesakit kanser meningkat di Terengganu

Dr Kasemani (dua dari kiri) melihat kempen kesedaran mengenai kanser mulut yang diadakan sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini pada Khamis.
Dr Kasemani (dua dari kiri) melihat kempen kesedaran mengenai kanser mulut yang diadakan sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini pada Khamis.
A
A
A

MARANG - Kes kanser di Terengganu meningkat kepada 1,223 kes sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu berbanding 1,193 kes yang direkodkan pada tahun 2021.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kanser payudara merupakan kanser paling kerap dilaporkan iaitu 23.8 peratus diikuti kanser kolorektal dan kanser paru-paru masing-masing 11.8 peratus.

Menurutnya, daripada jumlah kanser yang dilaporkan, lebih daripada 60 peratus pesakit lewat menerima rawatan iaitu ketika penyakit itu sudah berada pada tahap tiga dan empat.

"Hal ini kerana kebanyakan pesakit tidak membuat saringan dan pemeriksaan awal, masyarakat perlu sedar bahawa pengesanan lewat membawa kepada kos rawatan lebih tinggi selain mengurangkan peluang untuk sembuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini pada Khamis.

Dr Kasemani berkata, kanser merupakan satu daripada lima penyebab kematian utama di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, satu pertiga daripada kanser boleh dicegah dan mampu sembuh jika dikesan awal serta pesakit menerima rawatan sewajarnya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai tampil membuat saringan di klinik kesihatan berhampiran untuk mengetahui status kesihatan masing-masing supaya dapat mengesan penyakit pada peringkat awal.

"Pelbagai modaliti saringan kanser ditawarkan di fasiliti kesihatan di negeri ini seperti pemeriksaan klinikal payudara dan mammogram untuk kanser payudara, saringan pap smear untuk kanser pangkal rahim dan saringan sampel najis untuk kanser kolorektal.

"Dalam rawatan kes kanser, hospital-hospital di Terengganu juga mempunyai kepakaran yang tinggi.

"Sebagai contoh, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merupakan pusat rujukan serantau untuk zon timur bagi kanser darah kanak-kanak atau peadiatric heamato oncology," katanya.