Banjir: Bekalan bahan basah cukup tetapi harga mahal

Bekalan bahan basah segar untuk keperluan harian penduduk setempat mencukupi ketika tinjauan di Pasar Awam Parit Yaani pada Khamis. - Foto Bernama
Bekalan bahan basah segar untuk keperluan harian penduduk setempat mencukupi ketika tinjauan di Pasar Awam Parit Yaani pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Bencana banjir yang melanda Batu Pahat ketika ini bukan sahaja 'merencatkan' aktiviti penduduk, tetapi turut menjejaskan pendapatan peniaga terutamanya peniaga bahan basah.

Peniaga sayur, Shahrizal Jaisnin, 34, berkata, kejadian banjir yang melanda di kawasan perniagaanya di Parit Yaani, menyebabkan dia terpaksa menggunakan laluan alternatif di jalan Tongkang Pechah di sini kerana banyak laluan utama ke Batu Pahat dinaiki air.

"Air mula naik sejak Jumaat dan saya perlu menjalankan perniagaan setiap hari, kerana semua orang mahukan bahan basah seperti sayur dan ikan.

"Bekalan bahan basah memang ada, tetapi harganya lebih mahal daripada biasa, mungkin disebabkan banjir ini, ada yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Contohnya, sayur yang saya beli kira-kira RM3 hingga RM4 satu kilogram sebelum banjir, tetapi sekarang ini mencecah sehingga RM7 sekilogram,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Awam Pekan Parit Yaani di sini, baru-baru ini.

Shahrizal berkata, dia tidak boleh menjual dengan harga lebih tinggi, kerana turut bersimpati dengan penduduk setempat yang menjadi mangsa banjir seperti dirinya.

Beliau berkata, pada ketika ini, dia membelanjakan kira-kira RM4,000 untuk membeli ikan dan sayur di Batu Pahat setiap hari, walaupun keadaan banjir namun tidak pernah mendapatkan pulangan modal.

"Ini susulan ramai pelanggannya daripada Parit Yaani dan Yong Peng terputus hubungan untuk ke kedainya, kerana beberapa laluan terutamanya jalan utama Yong Peng-Muar masih dinaiki air dari Sungai Terusan.

"Ikan dan sayur yang dibeli setiap hari tidak boleh disimpan terlalu lama dan kami mengambil keputusan untuk agihkan di pusat pemindahan sementara bagi kegunaan mangsa banjir,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Hairul ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani, 38, pula berkata, kenaikan harga bahan basah ketika bencana banjir berlaku beberapa kali, namun kali ini harga naik sekali ganda.

"Kita faham harga naik sebabkan jarak perjalanan jauh, tetapi kita harap kerajaan dapat melakukan sesuatu mengenai perkara ini, supaya peniaga kecil seperti kami tidak menanggung kerugian berterusan terutama pada keadaan banjir,” katanya.

Terdahulu tinjauan Bernama mendapati hanya sebuah kedai bahan basah yang dibuka di Pasar Awam Pekan Parit Yaani, Batu Pahat manakala kira-kira 10 kedai lain ditutup, kerana ada sebahagian peniaga terjejas akibat rumah mereka dinaiki air. - Bernama