AC Milan mara suku akhir Liga Juara-Juara

Antara aksi menarik perlawanan Pusingan 16 Terbaik Liga Juara-Juara, Tottenham Hotspur menentang AC Milan di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto Agensi
Antara aksi menarik perlawanan Pusingan 16 Terbaik Liga Juara-Juara, Tottenham Hotspur menentang AC Milan di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto Agensi
A
A
A

AKSI berdisipilin AC Milan, membolehkan juara tujuh kali itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun dengan agregat 1-0 selepas mengikat Tottenham Hotspur tanpa jaringan di Stadium Tottenham Hotspur pada Khamis.

Pada perlawanan berintensiti tinggi di utara London itu, ketika Tottenham berusaha merobek gawang pelawat, jagoan Serie A Itali tersebut lebih selesa melindungi kelebihan satu gol yang diperolehi pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di San Siro sebelum ini.

Kegagalan jentera Tottenham menterjemahkan deretan percubaan dalam bentuk gol memuncak apabila pengendali Antonio Conte dilayangkan kad merah pada babak pertama.

Benteng tuan rumah terus tempang apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas tonggak pertahanan, Cristian Romero dibuang padang pada minit ke-78 setelah menerima kad kuning kedua selepas mengasari Hernandez.

Sementara itu, AC Milan pimpinan Stefano Pioli boleh mengakhiri perlawanan malam tadi dengan lebih selesa sekiranya jentera depan memanfaatkan deretan peluang baik yang menyaksikan persembahan berkualiti pelawat.

Kemenangan itu membolehkan AC Milan melihat ke hadapan dengan optimis, pada ketika musim suram Tottenham semakin tidak menentu selepas tewas dalam Piala FA kepada kelab Liga Kejuaraan Sheffield United dan kepada Wolverhampton Wanderers dalam Liga Perdana Inggeris.

AC Milan mungkin agak jauh untuk kembali ke kemegahan Eropah sebelum ini tidak seperti ketika gah pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, namun pengalaman pasukan Pioli banyak membantu ketika menyingkirkan cabaran Tottenham yang diejek para penyokong selepas wisel penamat perlawanan.

"Kami tahu ia akan menjadi sukar, tetapi kami berjaya. Saya meminta pemain menunjukkan watak. Kami tidak pernah berputus asa, dan kami berhak untuk mara.

“Kami berjaya ke suku Liga Juara-Juara, sekarang mari kita lihat apa yang berlaku dalam undian,” kata Pioli.

LIGA JUARA-JUARA

Keputusan

Tottenham Hotspur 0-0 AC Milan

(AC Milan mara agregat 1-0)

Bayern Munich 2-0 PSG

(Bayern Munich mara agregat 3-0)