Isu RoS, jemaah teraniaya yang tiada kesudahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan seolah-olah tiada kesudahan.

Tindakan untuk tidak mempertandingkan jawatan tersebut mengundang pelbagai reaksi dan ada antaranya beranggapan bahawa perkara itu tidak wajar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, beliau menggunakan kuasa budi bicaranya mengecualikan UMNO daripada klausa dalam Akta Pertubuhan 1966, sekali gus membenarkan parti itu tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Tindakan berkenaan mengundang kontroversi dan mendapat kritikan ramai.

Antara yang mengkritik adalah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) didakwa menyatakan keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi UMNO adalah tidak sah.

Bagaimanapun, menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tiada unsur salah guna kuasa dalam keputusan yang dibuat oleh Saifuddin.

Jelas beliau, Setiausaha Agung PKR itu menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan dalam Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, masih banyak lagi laporan tentang masalah yang dihadapi jemaah umrah Malaysia.

Malah, ada jemaah yang dikatakan sudah membayar keselurahan kos sehingga mencecah RM9,500 tetapi mereka tidak mendapat penginapan yang sepatutnya.

Menjelaskan isu berkenaan, seorang mutawif yang mahu dikenali sebagai Ali (bukan nama sebenar) telah mendedahkan bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan harga yang lebih tinggi kepada pihak pengurusan hotel di Arab Saudi.

Menurutnya, tempahan bilik dengan bayaran penuh telah dibuat namun sebaik sahaja tiba di sana, pihak hotel memaklumkan bilik yang telah ditempah tiada kekosongan.

Tambah beliau, para jemaah terpaksa dipindahkan ke hotel lain atau perlu membayar caj tambahan jika mahu menginap di hotel sama.

Bagi mengelakkan lebih ramai jemaah yang teraniaya dan menjadi mangsa, semua pihak berkaitan perlu duduk semeja dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.