Bawa ke Parlimen Akta Pertubuhan 1966 jika mahu dipinda - Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO Negeri Selangor 2023 di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Rabu. - Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO Negeri Selangor 2023 di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) merupakan satu akta yang diluluskan oleh Parlimen dan sekiranya ada pihak yang mahu ia dipinda, perkara itu seharusnya diserahkan kembali kepada Parlimen, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kalau ada tidak setuju kena tengok balik dalam Akta Pertubuhan 1966. Itu adalah merupakan satu akta dan ia diluluskan oleh Parlimen. Maka kita serahkan balik kepada Parlimen kalau mahu akta itu dipinda,” katanya kepada media di sini malam ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang tidak berpuas hati dengan keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung pemilihan parti itu.

Sementara itu, merujuk kepada kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO akan mengadakan perbincangan secara dalaman selama tiga hari, bermula malam ini di setiap negeri yang terlibat.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah. - Bernama