'Saya tidak sembunyi apa-apa'

Mohamad Sabu - Foto Bernama
Mohamad Sabu - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan beliau tidak menyembunyikan sebarang fakta berkaitan inisiatif kerajaan dalam mengimport telur dari India.

Malah beliau bersedia mendedahkan sebarang maklumat yang diminta mana-mana pihak berhubung inisiatif berkenaan.

“Syarikat J&E (J&E Advance Sdn Bhd), boleh pergi check siapa pengerusinya, bagi saya tidak sembunyi apa-apa, i’ll reveal everything (saya akan dedahkan semuanya).

“Ini Abang Mat la, cuma bila jadi kerajaan kena ‘slow’ skit,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu Mohamad (PH-Kota Raja) memaklumkan, pemberian permit import kepada syarikat tersebut tidak dilakukan secara tender terbuka ekoran situasi bekalan telur dalam negara yang meruncing, sekali gus memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Ia dilakukan secara ‘fast track’. Syarikat itu turut membekalkan telur ke Qatar ketika acara (bola sepak) Piala Dunia.

“Tidak ada langsung peruntukan kerajaan (dalam import telur dari India). Ia tidak (dibuat secara tender terbuka) sebab untuk menampung sementara (bekalan telur), ‘special case’ dan selepas ini, kalau bekalan telur pulih, kita akan kurang atau hentikan import.

“Kalau keadaan meruncing misalnya berlaku banjir atau kehilangan sumber bekalan, kemungkinan kita boleh import menerusi mana-mana syarikat yang bersedia seperti dari Thailand, Turkiye dan negara lain,” jelasnya.

Sementara itu mengenai dakwaan wujud kegiatan kartel daging import, Mohamad menjelaskan, perkara itu tidak berlaku sebaliknya kebenaran mengimport diberi bagi menampung pengeluaran daging tempatan.

"Pengeluaran tempatan hanya mampu menyediakan 20 peratus sahaja untuk daging kambing dan lembu di Malaysia. Oleh itu, sebahagian lagi ditampung oleh (import) daging luar.

"Kita sedang berusaha dengan begitu kuat misalnya Agrobank agar tumpu betul-betul untuk membantu mereka yang mahu terlibat atau sudah terlibat supaya membesarkan ternakan mereka. Kita harap ia dapat menambah bilangan lembu, kerbau dan kambing," ujarnya.