ATM pastikan kebajikan warganya terus dipelihara

Affendi berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-89 di Wisma Perwira hari ini. Foto Bernama
Affendi berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-89 di Wisma Perwira hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan kebajikan warganya akan terus dipelihara dan terbela.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, ini termasuk kebajikan para isteri dan veteran ATM.

Beliau berkata, usaha berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kemampuan ATM.

"Keprihatinan terhadap aspek kebajikan yang menyeluruh sebegini merupakan suatu keistimewaan unik dan hanya dapat dinikmati angkatan keramat ini.

"ATM percaya bahawa pemeliharaan aspek kebajikan ini menjadi pembakar semangat dan motivasi warganya demi mencurahkan khidmat bakti terhadap angkatan ini sebagai benteng utama pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Meraikan Anggota Cedera sempena sambutan Hari ATM ke-89 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.

Affendi berkata keistimewaan ini adalah wajar untuk diutamakan kerana tugas mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara bukanlah suatu tugas yang boleh diambil mudah.

"Mereka (anggota ATM) sering terdedah kepada risiko kehilangan nyawa dan paling tidak mendapat kecacatan kekal yang sudah tentu akan menjejaskan kelancaran masa depan apabila bersara kelak,” katanya.

Terdahulu, seramai 52 anggota cedera iaitu tujuh orang yang masih berkhidmat dan 45 yang telah bersara daripada perkhidmatan ATM diraikan dalam majlis berkenaan.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman. - Bernama