Kemelut politik Sabah perlu selesai ikut perundangan

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergolakan politik di Sabah perlu diselesaikan mengikut perundangan yang telah ditetapkan, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, ia bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya demi kestabilan politik negara dan demokrasi.

“Kalau kita tidak hormat perlembagaan, kalau tidak patuh sistem demokrasi yang diamalkan, maka ini berlaku ketidakstabilan politik.

"Jadi, saya berharap keadaan ini dapat diredakan sebaik mungkin, bukan terdesak tapi perlu ikut perundangan. Bayangkan di Pusat kita bersatu sementara di negeri tidak ada kata sepakat,” katanya.

Hazwan (kiri) dan Mohd Shafie ketika program Sinar Live bertajuk 'Rakyat Sabah Ibarat Pungguk Rindukan Bulan’ di Parlimen pada Rabu.
Hazwan (kiri) dan Mohd Shafie ketika program Sinar Live bertajuk 'Rakyat Sabah Ibarat Pungguk Rindukan Bulan’ di Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada Sinar Live bertajuk 'Rakyat Sabah Ibarat Pungguk Rindukan Bulan’ yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar di Parlimen pada Rabu.

Tambah Mohd Shafie, kerajaan perlu segera menguatkuasakan Akta Anti Lompat Parti yang telah digunakan kerajaan Persekutuan kepada semua negeri.

Beliau berkata, ia adalah bagi memastikan tiada ahli Parlimen melakukan perkara yang boleh merosakkan demokrasi negara.

Menurutnya, sekiranya ia tidak dapat diluluskan oleh kerajaan negeri, selaku ketua pembangkang, beliau akan membawa 'private bill' berkenaan perkara tersebut bagi membolehkan ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Undang-undang ini tidak selari, ada di Pusat sahaja, negeri tiada. Jadi bagaimana keadaan pentadbiran sistem demokrasi? Ini perlu kita lihat untuk mewujudkan kematangan politik.

”Saya minta untuk adakan akta ini di Sabah secepat mungkin. Ini bukan untuk keuntungan saya sendiri, namun ia penting untuk negara kita. Samakan undang-undang di serata negara.

"Bayangkan, Pulau Pinang empat Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) telah gugur, di Sabah lebih 10 tidak digugurkan. Bagaimana nak kata ada perpaduan?” soalnya.

Mengulas mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohd Shafie berkata, pelbagai susun atur telah dilakukan bagi memastikan Warisan berjaya mentadbir negeri itu.

“Bila bermesyuarat dengan mereka (ahli parti), saya kata jangan fikirkan orang yang melompat ini. Maju ke hadapan. Bagaimana kita perlu susun atur rumah kita, jangan fikir rumah orang lain. Fikirkan parti kita sahaja.

“Perlu perhalusi berkenaan rakyat yang dahagakan kepimpinan kerajaan yang stabil. Kita perlu sedari hakikat bahawa perkara ini (rakyat) penting untuk beri kekuatan kepada parti.

"Saya tak nak perincikan strategi saya, nanti pihak lawan pun tahu,” katanya.