RM13.3 juta untuk Biasiswa Pahang tahun ini

Wan Rosdy bersama sebahagian pelajar ketika Majlis Penyerahan Biasiswa Pahang Tajaan Yayasan Pahang Sesi Persekolahan Tahun 2023 di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
Wan Rosdy bersama sebahagian pelajar ketika Majlis Penyerahan Biasiswa Pahang Tajaan Yayasan Pahang Sesi Persekolahan Tahun 2023 di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 44,379 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini menerima manfaat Biasiswa Pahang dengan implikasi kewangan RM13.3 juta tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah penerima itu, 21,204 merupakan murid sekolah rendah dari darjah empat hingga darjah enam.

Menurutnya, penerima telah menerima bayaran RM300 setiap seorang yang dibayar melalui sekolah masing-masing.

"Bagi pemberian Biasiswa Pahang Sekolah Menengah, seramai 23,175 pelajar dari tingkatan dua hingga tingkatan enam menerima bayaran biasiswa RM600 yang dibayar melalui dua fasa menerusi akaun simpanan masing-masing.

"Bayaran fasa pertama RM300 telah dibayar, manakala fasa kedua akan dibayar pada Ogos depan," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy sebelum itu hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Biasiswa Pahang Tajaan Yayasan Pahang Sesi Persekolahan Tahun 2023 di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.

Beliau berkata, pemberian Biasiswa Pahang (Sekolah Menengah) dilaksanakan sejak tahun 1983 diikuti Biasiswa Pahang (Sekolah Rendah) pada tahun 2002.

"Sehingga kini, seramai 334,947 murid sekolah rendah dan menengah di negeri ini telah menerima manfaatnya membabitkan implikasi kewangan RM463.7 juta," jelasnya.

Menurutnya, pemberian Biasiswa Pahang itu diharap dapat membantu meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan persediaan persekolahan anak-anak mereka untuk sesi persekolahan kali ini.

"Bantuan itu juga bagi memastikan tiada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan tercicir untuk mendapat pendidikan sempurna," katanya.